Buletin

SUZUKI JIMNY RASMI TIBA DI MALAYSIA. 1.5L, ALLGRIP PRO, 4 PILIHAN WARNA, RM168,900 SEUNIT!

Naza Eastern akhirnya melancarkan SUV yang paling ditunggu-tunggu ramai, Suzuki Jimny ke pasaran tempatan. Sudah memasuki generasi keempat, Jimny membuat debut pada tahun 1970 dan terus popular sehingga kini. 

Jimny baharu hadir dengan pelbagai ciri yang lebih praktikal bersama rekaan segar. Kenderaan pacuan empat roda itu mengekalkan DNA asalnya iaitu ringan, kecil dan berkeupayaan tinggi sama ada dipandu di atas jalan biasa ataupun off-road. 

Diimport sepenuhnya dari Jepun, Jimny dipasang dengan enjin 1.5 liter yang dipadankan bersama kotak gear automatik 4 kelajuan. Enjin tersebut menawarkan tork pada julat rpm luas untuk pemanduan bandar yang efisien dan prestasi terbaik di laluan off-road. 

Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda belakang atau ke keempat-empat roda menerusi sistem ALLGRIP PRO. Sistem itu hadir dengan low-range transfer case, di samping fungsi hill descent dan hill hold. 

Keseronokan memandu Jimny di laluan off-road dipertingkatkan menerusi kerangka ladder, gandar suspensi tegar 3-link dengan pegas gegelung, jarak kelegaan tanah sehIngga 210mm. Hanya seberat 1,095kg, ia cukup berkuasa di jalan sukar dan menjimatkan bahan api. 

Bahagian kabin menawarkan konfigurasi empat tempat duduk dengan ruang kepala dan kaki yang luas. Tempat duduk belakang boleh dilipt rata untuk memberikan ruang kargo mencecah 830 liter.

Rekaan papan pemuka dibiarkan ringkas dengan butang kawalan pendingin hawa digital, stereng dibalut kulit dan skrin infohibur yang menyokong ketersambungan Apple CarPlay, Bluetooth telefon dan fungsi audio. 

Aspek keselamatan Jimny dipertingkat berdasarkan lepada Total Effective Control Technology (TECT) Suzuki. Jadi, badan Jimny direka khas untuk menyerap impak dan mengurangkan kecederaan pejalan kaki. 

Kestabilan Jimny juga dikekalkan dengan ciri Electronic Stability Program (ESP) di mana kuasa tork enjin dan brek disesuaikan secara automatik untuk mengurangkan gelinciran ketika dipandu di atas jalan licin. Cagak ISOFIX juga dipasang untuk ibu bapa yang mahu membawa anak-anak kecil mereka bersama.

“Kami sangat teruja untuk melancarkan Jimny ke Malaysia buat pertama kalinya. Kami telah menerima maklum balas yang memberangsangkan daripada orang ramai sebelum jentera ini diperkenalkan lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif, Naza Corporation Sdn. Bhd., Dato’ Nik Hamdan Nik Hassan. 

Jimny didatangkan dalam empat warna iaitu kuning, hijau, kelabu dan hitam. Jentera dambaan ramai ini boleh anda miliki pada harga RM168,900 seunit.

 GALERI

Google ads
Back to top button