TOYOTA REBADGE SUZUKI ERTIGA JADI RUMION DI AFRIKA SELATAN. BERMULA RM68K
Toyota baru-baru ini memperkenalkan MPV baharu ke pasaran Afrika Selatan. Apa yang menarik, ia merupakan model rebadge Suzuki Ertiga yang dilancarkan di Indonesia pada tahun 2018.
MPV tiga tempat duduk itu yang dikenali sebagai Rumion itu hanyalah berbeza dari segi lencana, gril dan rim bersaiz 15 inci. Ciri-ciri lain seperti papan pemuka, skrin infohibur dan rekaan stereng adalah sama dengan Ertiga. Dari segi dimensi Rumion sepanjang 4,395mm, lebar 1,735mm dan tinggi 1,690mm dengan tapak roda 2,740mm.
Apabila semua tujuh tempat duduk digunakan, jentera itu menawarkan ruang kargo seluas 153 liter. Jika kerusi baris ketiga dilipat, ruang but dapat ditingkatkan kepada 550 liter. Ruang meletak barang boleh menjadi seluas 803 liter jika semua tempat duduk penumpang dilipat rata.
Rekaan bumbung yang tinggi menawarkan ruang kepala luas dan kerusi baris ketiga turut disediakan dengan tempat meletak minuman.
Ertiga dan Rumion dibina di atas platform Swift yang dipanjangkan. Ia dikuasakan oleh enjin empat silinder 1.5 liter yang mampu menjana 103hp dan tork 138Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan.
Varian asas Rumion dengan rim besi ditawarkan pada harga AS$16,382 (RM68,156). Manakala varian paling mahal berharga AS$21,158 (RM88,000). MPV itu tidak didatangkan dengan sistem keselamatan yang canggih. Apa yang ada hanyalah dua beg udara dan brek ABS.
Ini bukanlah kali pertama Toyota model rebadge Suzuki. Di India, Toyota Glanza ialah Suzuki Baleno, manakala Toyota Urban Cruiser diambil daripada Suzuki Vitara Brezza.
Suzuki juga rebadge model Toyota seperti yang ada di Eropah, Suzuki Swace ialah Toyota Corolla Sport Tourer. Sementara Suzuki Across berasaskan kepada Toyota RAV4.