Modifikasi

MEMORI KEHEBATAN KERETA JEPUN 90-AN – MAZDA LANTIS TURBO

Secara peribadi, dah makan tahun saya tak jumpa model-model Mazda untuk disembangkan. Mana entah diorang menyorok, buat gathering pun tak ajak. Tapi persinggahan singkat di Ganu tempohari telah menemukan dengan kereta ini, sebuah Lantis 323F yang masih terjaga rapi oleh pemiliknya Ejat.

Lantis sebenarnya menerima sentuhan Ginger (Arnold) Ostle, seorang pereka konsep yang pernah bekerja dengan Porsche sebelum itu. Bagi menarik minat pembeli, ia dipasarakan sebagai coupe 4 pintu, yang sebenarnya masih merupakan sebuah hatchback 5 pintu.

Walaupun disambut baik pasaran luar, jumlah jualan di Jepun agak kurang memberangsangkan, memaksa Mazda menghentikan pengeluarannya selepas 3 tahun diperkenalkan.

BACA: MAZDA FAMILIA GTX TURBO

Tak pasti mengapa Lantis kurang popular ketika itu. Mungkin konsep yang diketengahkan terlalu asing dan sukar diterima.

Bagi pemilik tempatan pula, tempiasnya mula terasa apabila komponen gantian yang diperlukan kian sukar diperolehi. Mujur ia berkongsi komponen dengan beberapa model lain yang memungkinkan Lantis terus bertahan sehingga kini.

Menurut mata Ejat, kereta ini sebenarnya masih berpotensi untuk dimajukan seperti variasi Mazda yang lain. Bahagianluaran, ia telah dipadankan dengan beberapa komponen kustom, meliputi keseluruhan bumper depan, fender serta hood.

Nak pakai spoiler Lantis Type-R takut terbang pulak. Sementara pintunya yang tidak berbingkai, dilengkapi visor jenis sambung yang unik.

Sistem gantungan menerima tingkat taraf menerusi padanan set suspensi boleh laras Mazdaspeed untuk depan dan HWL di bahagian belakang. Kuasa hentian pula digantikan dengan set brek dari Lantis V6.

 

Mengisi ruang rodanya adalah rim Rays 16-inci, yang datang bersama tayar gemuk Yokohama A-drive bersaiz 205/50R-16 setiap satu.

Kedudukan enjin asal telah digantikan dengan nadi BPD dari Familia GT-R. Memang ini yang terbaik dan sentiasa diburu peminat enjin berprestasi Mazda. Itu pun kalau boleh jumpalah.

Memandangkan ia masih sihat sejahtera, keseluruhan komponen dalaman belum lagi diusik, kecuali kerja-kerja port & polish ringan di bahagian kepala silinder.

Peningkatan paling besar berlaku pada sistem pendesak, yang menerima unit turbo siri TD06. Ia diletak mendongak pada sebuah manifold turbo kustom yang turut mengandungi sebuah wastegate Tial 38mm.

Janaan boost kemudian dibawa ke unit intercooler EVO IV dengan paip sambungan kustom. Sebaik melalui unit throttle body kustom EVO III, lebihan boost akan dilepas keluar menerusi injap pelepas GReddy Type RS.

 Pam bahan api Sard bertugas menyalurkan bekalan petrol kepada set injektor Sard 800cc. Kuasa cucuhan pulak, datang dari unit distributor dan koil EVO III, sebelum diuruskan sepenuhnya oleh unit EMS Haltech E8. Oldskool nih! Hasil akhir dari proses pembakaran, kemudiannya dikeluarkan menerusi binaan paip ekzos sebesar 2.5-inci dengan muffler jenis CF ala superbike dari Megan Racing. Patut lah bunyik pom-pom-pom…!

BACA: RX-7 DENGAN 500 KUASA KUDA

Bahagian dalam tampil dengan gaya sebuah kereta 90-an yang sebenar. Nampak ringkas tapi pasti. Papan pemuka dan panel pintu datang dengan kemasan warna hitam, diikuti tambahan stereng Nardi, meter putih dari Lockwood serta tombol gear Mazdaspeed.

Paling menjolok mata kehadiran sepasang tempat duduk Mazdaspeed kaler hitam, yang hampir mustahil untuk dibeli zaman ini. Tidak ketinggalan pemasangan meter boost dan suhu GReddy untuk tujuan pemantauan.

 Semakin kurang mereka yang memperjuangkan model-model kurang popular seperti ini. Banyak yang sudah tersadai, harga pulak makin merudum. Hanya mereka yang kental saja sanggup mengekalkan kewujudannya sehingga dikenali generasi akan datang.

-PAK MAUN-

GALERI

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”22″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button