
TATA MOTORS NAFI MAHU JUAL JAGUAR LAND ROVER
Baru-baru ini, timbul laporan TATA Motors yang merupakan pemilik Jaguar Land Rover mahu menjual saham jenama kenderaan mewah dari Britain itu.
“Khabar angin yang menyatakan TATA Motors mahu melepaskan sejumlah sahamnya dalam Jaguar Land Rover adalah tidak benar,” tegas jurucakapnya.

Laporan itu mendakwa TATA Motors sedang mempertimbangkan untuk sama ada menjual sepenuhnya Jaguar Land Rover, menjual saham minoriti atau mencari rakan kerjasama dalam usaha mengurangkan kos.
Terdahulu, TATA Motors dikatakan telah mengadakan perbincangan awal dengan pasukan penasihat.
Syarikat itu bagaimanapun enggan menyerahkan kawalan jenama Jaguar Land Rover. Sebaliknya mungkin mahu mencari rakan strategik atau dana sewajarnya.
Hanya lebih 10 tahun selepas membeli Jaguar Land Rover, perniagaan yang pada awalnya dilihat berpotensi bertukar menjadi mimpi ngeri buat TATA Motors. Syarikat itu membeli Jaguar Land Rover daripada Ford Motor Co. pada harga AS$2.3 bilion (RM9.37 bilion).

Bulan lalu, ia mencatat kerugian paling besar dalam sejarah India iaitu RM16.2 bilion apabila konglomerat itu mengurangkan nilai asetnya secara drastik.
Biarpun begitu, Jaguar Land Rover masih menjadi jenama paling berharga dimiliki oleh TATA Group yang turut menguasai teh Tatley dan hotel mewah Pierre di New York.
Menurut Interbrand tahun lalu, nilai Jaguar Land Rover dianggarkan mencecah AS$6.2 bilion (RM25.2 bilion).
TAT Motors kini memiiki 100 peratus Jaguar Land Rover dan mengalami kerugian berbilon ringgit sejak kebelakangan ini. Jaguar berdepan kesukaran apabila jualan di China merosot dan permintaan terhadap model-model diesel di Eropah kian merudum.

Lebih memburukkan keadaan, Jaguar Land Rover telah mengumumkan pengurangan 10 peratus tenaga kerja berikutan ketidaktentuan akibat Brexit.
“UK kekal menjadi pasaran paling penting buat Jaguar Land Rover, malangnya ia berdepan banyak masalah kerana Brexit. Justeru, ia memerlukan pelaburan yang besar untuk mendepani pasaran tidak menentu,” kata Penasihat Automotif Pasaran Membangun yang berpangkalan di London, Deepesh Rathore.
Bulan lalu, Jaguar Land Rover memberitahu ia kini sedang mencari sumber pembiayaan alternatif memandangkan situasi sedia ada tidak membenarkan mereka meminjam daripada pasaran bon.
Syarikat itu yang sekarang membelanjakan banyak wang untuk membangunkan kenderaan elektrik perlu mendapatkan AS$1 bilion (RM4.2 bilion) dalam tempoh 14 bulan untuk menggantikan bon yang sudah matang.