Buletin

TEMPAHAN LOTUS EMIRA i4 KINI DIBUKA, HARGA BERMULA RM998K

Tempahan bagi model Emira i4 First Edition dengan enjin 2.0 liter kini sudah dibuka dengan harga istimewa iaitu RM998,800, di atas jalan termasuk cukai.

Tawaran eksklusif untuk model Lotus dikuasakan oleh enjin ICE itu hanya sah bagi kenderaan tahun 2023 sebelum harga sebenar berkuatkuasa iaitu RM1,095,000 di Semenanjung Malaysia dan RM509,000 di pulau bebas cukai Langkawi.

Rekaan permukaan yang berarca dan perincian teknikal Emira dipengaruhi oleh model hypercar Evija termasuk dipadankan bersama lampu LED sepenuhnya, DRL, rim tempaan ultra ringan bersaiz 20 inci serta pilihan tayar dibangunkan khas untuk maklum balas stereng iaitu 245/35/R20 di hadapan dan 295/30/R20 belakang.

Terdapat 13 warna pilihan untuk meningkatkan impak visual Emira i4:

  • Hethel Yellow
  • Magma Red
  • Vivid Red
  • Dark Verdant
  • Seneca Blue
  • Atlantis Blue
  • Meridian Blue
  • Osmium Silver
  • Nimbus Grey
  • Shadow Grey
  • Zinc Grey
  • Mist White
  • Cosmos Black

Di dalam kabin, ia dilengkapi kluster instrumen TFT bersaiz 12.3 inci, skrin sentuh bersaiz 10.25 inci dengan ketersambungan Android Auto/Apple CarPlay tanpa wayar dan sistem audio premium 560W 10 saluran bersama enam pembesar suara.

Selain itu, turut tersedia untuk model ini ialah tempat duduk boleh dilaras secara elektrik 12 hala dengan ciri pemanas dan dikemaskan lagi melalui upholsteri kulit Nappa.

Ia hadir dalam pilihan warna hitam, merah, kelabu, tan atau Alcantara hitam, bersama pilihan jahitan kontras berwarna kuning, merah atau kelabu.

Untuk makluman, material Alcantara hitam juga digunakan pada bumbung. Sementara, kemasan satin krom, lampu ambien dalaman berwarna putih dan plat kaki jenama Lotus melengkapkan lagi gayaan yang premium.

Pelanggan juga boleh memilih kulit Nappa yang sama pada stereng dengan jahitan jalur bahagian tengah atasnya di mana ia boleh didapati dalam warna kuning, merah atau kelabu.

Dari segi storan, bahagian belakang dua tempat duduk menawarkan ruang 208 liter serta tambahan 151 liter di ruang kargo belakang.

Emira i4 First Edition hadir dengan empat pek pilihan sebagai ciri standard.

Salah satu daripadanya ialah Lower Black Pack, merangkumi kemasan hitam berkilat pada bumbung, bingkai bumbung, perumah cermin sisi dan emblem Lotus pada bahagian belakang termasuk kemasan pada ekzos pula berwarna hitam satin.

Design Pack melibatkan penambahan satu kaca privasi, pedal sports, kemasan bumbung Alcantara dan karpet lantai Emira.

Bagi Convenience Pack pula, ia ditambah dengan sensor parkir hadapan, kamera undur, sensor pada pengelap cermin utama bersama bilah aero, cermin malap secara automatik dan jaring pada ruang penyimpanan belakang.

Akhir sekali ialah Lotus Drivers Pack, menawarkan pilihan suspensi Tour atau Sports kepada pelanggan.

Kedua-duanya dilengkapi ciri Track Mode ESP dengan mode Track baharu dipaparkan pada skrin instrumen TFT yang memaparkan maklumat diperlukan untuk pemanduan berprestasi tinggi.

Maklumat lain, ia menggunakan penyerap hentak bertekanan tinggi dari Bilstein dan dipadankan dengan Spring Eibach, telah ditala dengan teliti bersama empat tetapan berbeza untuk pilihan chasis Tour dan Sport.

Ciri-ciri lain terdapat pada Lotus Emira i4 termasuklah penggunaan sistem stereng elektro-hidraulik bagi menawarkan rasa pemanduan sebenar yang sememangnya menjadi asas kepada DNA kereta Lotus.

Beralih kepada kuasa, Lotus Emira i4 dijana oleh enjin 2.0L empat-silinder turbo, menghasilkan 360hp pada 6,600rpm dan tork 430Nm bermula 3,000 hingga 5,500 rpm.

Nadi berkenaan mampu mencapai kelajuan 0-100km/j dalam masa 4.4 saat dan pecutan maksimum 290km/j, malah ia boleh digunakan secara harian.

Dibina berdasarkan platform Lotus Sports Car Architecture, ia menjadikan model dengan enjin empat-silinder sebaris ini 12 kg lebih ringan berbanding Emira yang dijana oleh V6.

Kepada mereka yang berminat untuk melihat Emira i4 lebih dekat, anda boleh datang ke Lotus Store di Level 3, Pavilion Kuala Lumpur dari jam 10.00 pagi hingga 10 malam.

Google ads
Back to top button