Buletin

TEMPOH PURATA MENUNGGU KENDERAAN PERODUA KINI 2.5 HINGGA 8 BULAN

Walaupun masih terdapat banyak lagi cabaran di dalam isu bekalan cip semikonduktor, peningkatan kos dan sebagainya, namun Perodua dilihat berjaya mencatatkan pertumbuhan dua angka di dalam pengeluaran dan jualan. 

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, setakat ini permintaan terhadap kenderaan Perodua masih kekal kukuh. Perodua juga sedang meningkatkan lagi jumlah pengeluaran untuk memenuhi permintaan tersebut.

“Hasilnya, purata tempoh menunggu setakat 28 Februari kini adalah di antara 2.5 bulan dan 8 bulan. Semestinya, tempoh masa ini adalah tertakluk kepada model, varian dan warna,” kata Zainal.

Perodua akan terus meningkatkan operasi termasuk ekosistem serta masa penghantaran kepada para pelanggan. Unjuran industri automotif dan Perodua diramal positif memandangkan keadaan ekonomi semasa dilihat kekal stabil.

“Tumpuan semasa kini adalah kestabilan tenaga kerja, terutama sekali buat para pembekal automotif untuk memastikan pengeluaran dapat dipertingkatkan. Kami juga berharap penggubal dasar dapat terus berkomunikasi dengan ekosistem kerana sebarang perubahan polisi masa hadapan yang mungkin memberi kesan kepada industri,” katanya.

Perodua, pembekal dan pengedarnya mencatatkan peningkatan pengeluaran terkini (YTD) sebanyak 32.95 peratus kepada 51,134 unit daripada 38,460 unit. 

Jumlah jualan turut meningkat 33 peratus kepada 46,385 kenderaan daripada 34,865 kenderaan untuk dua bulan pertama tahun ini.

Pencapaian tersebut disumbangkan oleh peningkatan kecekapan dalam aspek pengeluaran, kemudahan pembiayaan kepada para pengedar Perodua yang lebih baik serta komunikasi yang menyeluruh di dalam ekosistem dan para pelanggan Perodua.

Google ads
Back to top button