,
Buletin

TERKINI: HAFIZH SAH TURUN KE KELAS MOTO2 TAHUN DEPAN

Paddock MotoGP Buriram Thailand hari ini panas dengan berita terbaru dari pelumba negara Hafizh Syahrin yang didakwa sah akan menyertai kelas Moto2 tahun depan.

Meskipun tidak menamakan pasukannya, berita “panas” mendahului dengan kemungkinan besar pasukan yang akan disertainya ialah Angel Nieto. Hafizh akan menggantikan Jake Dixon yang akan menyertai pasukan SIC tahun depan.

“Kami sudah menandatangani pra-kontrak, belum sign kontrak penuh lagi. Mungkin hujung minggu ini,” ujar Hafizh di trek Buriram hari ini.

“Saya akan hadapi saingan baru di Moto2. Kelas ini bukanlah baru bagi saya tapi cabarannya ialah kini enjin dah berubah, tambah Hafizh yang sebelum ini berlumba empat musim dalam kelas tersebut dengan enjin Honda.
Pelumba harapan negara itu mensasarkan tempat lima terbaik pada musim baru depan dan juga berharap dapat kembali ke kelas premier MotoGP.

“Kembali ke kelas Moto2, saya harap dapat lakukan perkara yang sama dengan Tom Luthi, sentiasa berjuang untuk lima tempat teratas.

“Saya dah buat tempat 10 terbaik dalam masa dua tahun sebelum ini dalam kelas Moto2.

“Saya tak kata ia mudah tahun depan, tapi pengalaman yang saya dapat dalam kelas MotoGP serta keadaan fizikal sekarang, saya yakin dapat berikan cabaran.

“Saya gembira sebab dapat teruskan saingan dan saya tak sabar untuk kembali ke kelas MotoGP secepat mungkin”

Pasukan Angel Nieto Moto2 buat masa ini menggunakan kerangka KTM, namun tahun depan akan digantikan dengan casis daripada Kalex atau Speed Up berikutan pengumuman KTM yang mengundurkan diri dari saingan Moto2.

“Saya tak dapat beri sebarang komen kerana pasukan belum putuskan arah mana mereka nak pergi. Ia samada Kalex atau SPeed Up dan saya tunggu pengumuman dari pasukan pakej mana yang akan saya dapat.”

Memberi komen tentang perlumbaan minggu ini di MotoGP Thailand, beliau memberitahu;

“Saya memang suka trek ni, budaya dan juga cuaca, ia mirip dengan keadaan di Malaysia. Tapi kepanasan di sini sedikit tinggi dari Malaysia. Malaysia lebih lembab, sementara di sini lebih panas. Tapi makanan saya suka, hampir sama. Litarnya nampak mudah tapi tidak senang juga sebenarnya.

“Sesetengah selekoh sangat teknikal. Contohnya, selekoh akhir, sangat sukar. Kalau anda buat silap sikit saja atau lebih dari had, mudah untuk hilang kawalan dan mudah jatuh. Ini adalah bahagian litar yang perlu anda faham.

“Ini adalah litar yang saya suka dan tahun lepas juga saya berlumba agak baik di sini. Harapnya kami dapat buat yang terbaik minggu ni.

Dengan komponen baru bagi semua pelumba KTM yang lain, ini bermakna, Hafizh dapat motor yang paling rendah spesifikasinya namun beliau akan dapat tingkattaraf minggu ini.

“Kami tak ada enjin baru tapi kami ada throttle body baru jadi kami akan cubanya di sini. Saya rasa, ia bagus, kita lihat keputusan selepas ujian bebas FP1 dan dan FP2 nanti”

Hafizh juga memberitahu bahawa beliau tak tahu bila akan dapat enjin KTM RC16 yang baru. Namun khabar angin memberitahu bahawa beliau akan dapat pada pusingan di Litar Sepang nanti.

Tags
Google ads
Back to top button