Buletin

TOYOTA TAWAR KHIDMAT LANGGANAN KERETA DI INDIA

Toyota Motor Corp. telah memulakan perkhidmatan pajakan kereta di India kerana lebih ramai pengguna di sana lebih berminat untuk menyewa daripada memiliki sebuah kereta.

Rakan pengedar dan pemasangan kenderaan Toyota di India, Toyota Kirloskar Motor Pvt. Ltd., (TKM) memberitahu pihaknya melancarkan program dikenali sebagai Kinto di bandar New Delhi, Mumbai dan Bengaluru.

Perkhidmatan itu menawarkan pajakan selama tiga hingga lima tahun untuk pelanggan korporat. Manakala pelanggan individu boleh melanggan kereta Toyota untuk dua hingga lima tahun.

Antara model yang terlibat dalam program Kinto ialah Yaris, Glanza, Camry Hybrid, Innova Crysta dan Fortuner.

Bayaran bulanan bermula sekitar 21,000 rupee (RM1,171) untuk model Glanza. Ia merangkumi kos penyelenggaraan, insurans dan bantuan tepi jalan.

TKM merancang untuk mengembangkan perkhidmatan itu ke 10 bandar utama India dalam masa setahun.

“Perkhidmatan langganan dan pajakan dijangka mengalami pertumbuhan memberangsangkan dalam beberapa tahun akan datang. Pada masa itu, kami mahu menawarkan semua model dengan bekerjasama dengan rakan korporat dan pelanggan,” kata Naib Presiden Kanan Jualan dan Servis TKM, Naveen Soni.

Google ads
Back to top button