
TESLA LANCAR STESEN SUPERCHARGER V4 DI I-CITY SHAH ALAM
Tesla Malaysia baru-baru ini telah melancarkan stesen pengecasan ultra pantas V4 Supercharger di i-City Finance Avenue, Shah Alam.
Terletak strategik bersebelahan pusat beli-belah dan kawasan komersial, kemudahan ini menampilkan empat pengecas V4 yang direka bagi memenuhi keperluan pengguna.
Pengecas V4 menawarkan kuasa sehingga 250kW, cukup pantas untuk menambah jarak perjalanan hingga 282km dalam hanya 15 minit bagi Model 3 dan Model Y.
Pengalaman pengguna turut dipermudah melalui fungsi “plug and charge” menerusi aplikasi Tesla – dari semakan ketersediaan pengecas, navigasi lokasi, pemantauan proses pengecasan sehinggalah pembayaran automatik, semuanya dikendalikan secara lancar.

Bagi pengguna tempatan, sistem bayaran pay-per-use menjadikan pengecasan Tesla antara yang paling berbaloi di pasaran dengan kadar bermula RM1.19/kWh. Caj masa melahu pula dikenakan sehingga RM4.00 seminit apabila semua pengecas sibuk sepenuhnya.
Setakat ini, Tesla mengendalikan 15 stesen Supercharging dengan 68 pengecas, selain 15 lokasi Destination Charging yang menempatkan 70 pengecas tambahan di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Tesla Malaysia turut mengumumkan rekod baharu penghantaran kenderaan bagi bulan Mei 2025, dipacu oleh pelancaran Model Y.
Kemasukan SUV elektrik berprestasi tinggi ini menyumbang kepada lonjakan pendaftaran sebanyak 403 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagi memperluas lagi komuniti pengguna, Tesla memperkenalkan beberapa inisiatif menarik seperti program Refer & Earn, yang menawarkan ganjaran sehingga RM15,000 setahun kepada pemilik yang merujuk rakan atau keluarga.
Di samping itu, pelanggan baharu turut menikmati pemasangan pengecas rumah secara percuma sebagai sebahagian daripada pakej pemilikan.
Tidak cukup dengan itu, program EV Switcher mempermudah peralihan daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) ke Tesla dengan tawaran penilaian semula bernilai RM15,000 serta pembiayaan faedah rendah dan insentif keseluruhan mencecah RM43,000.
Program Green Mobility Incentives pula menyasarkan syarikat-syarikat dan organisasi yang ingin memperkenalkan EV kepada tenaga kerja mereka, menyumbang secara langsung kepada agenda mobiliti hijau negara.