TESLA MUNGKIN PERLUKAN MASA 4 TAHUN UNTUK PENUHI PERMINTAAN CYBERTRUCK
Sejak diperkenalkan pada November tahun lalu, trak pertama Tesla, Cybertruck terus mendapat sambutan hangat. Walaupun pasaran Eropahkan mengesahkan jentera itu tidak selamat untuk dipandu di sana, ia tidak menghalang orang ramai untuk terus bercakap mengenainya.
Dengan reka bentuknya yang pelik dan futuristik, boleh dikatakan Cybertruck merupakan model Tesla yang paling berjaya setakat ini. Perkembangan itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc., Elon Musk.
Musk memberitahu Tesla tidak akan mampu untuk memenuhi permintaan ke atas Cybertruck dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi.
“Kami tidak mahu mengulas tentang nombor secara terperinci, cuma permintaan yang diterima adalah jauh lebih daripada kemampuan. Saya tidak tahu, mungkin akan memakan masa selama tiga atau empat tahun untuk dipenuhi,” kata Musk.
Jika dikira secara kasar, Tesla mungkin boleh menghasilkan sekitar 62,500 buah trak itu setahun sekiranya jumlah tempahan tidak bertambah. Masalah sekarang bukanlah kapasiti produksi di kilang Fremont, tetapi jumlah bateri yang boleh diperolehi, kecuali Tesla mampu meningkatkan jumlah komponen tersebut.
Tesla kini dilapor sedang fokus untuk meningkatkan produksi bateri. Jika kapasiti bateri tidak ditambah baik, pengeluar itu hanya akan menambah volum unit dari satu kumpulan ke kumpulan seterusnya.
Atas sebab ini juga Tesla terpaksa menangguhkan pengeluaraan model Semi ke tahun ini dari tahun 2019. – Inside EV