
TUAH DI SEBALIK INSIDEN SEWAKTU PELANCARAN TESLA CYBERTRUCK
Ketika ramai di antara kita mengetawakan insiden yang berlaku sewaktu pelancaran Tesla Cybertruck oleh Elon Musk tidak ramai yang tahu sebenarnya kekayaan Musk menjunam sebanyak USD768 juta hanya dalam masa sehari. Lebih mengkagumkan ialah bila Musk mengumumkan telah menerima 146,000 tempahan untuk Cybertruck baru itu walaupun acara pelancarannya sedikit tercalar (ataupun retak).

Nilai tempahan itu bukannya sedikit kerana ia mencecah nilai USD8 billion dalam masa 24-jam untuk produk yang hanya akan memasuki pasaran pada penghujung 2021. Lebih menarik lagi Tesla belum mengeluarkan walaupun 1 sen pun lagi untuk tujuan pengiklanan.
Ini merupakan pandangan Jonathan Quek, seorang pakar pelaburan dan penulis buku pelaburan terkenal tanah air dan sebagai pakar pelaburan beliau memang mempunyai pandangan yang jauh berbeza dari mereka yang cuma tahu gelak untuk suka-suka.
Menurut pandangan Jonathan terdapat beberapa idea perniagaan yang boleh diperolehi dari pelancaran Tesla Cybertruck ini.
Pelajaran 1 – Jika ada idea yang baik? Cuba jual dulu. Kemudian baru buat.
Berbeza dengan kebiasaan perniagaan, kita perlu menghasilkan produk sebelum mula memasarkannya. Bahkan sejumlah besar modal terpaksa dilaburkan untuk pengiklanan tanpa mengetahui sama ada ia akan memenuhi kehendak pasaran ataupun tidak.
Ia merupakan cara lama yang sangat berisiko di mana sejumlah besar wang, masa dan tenaga dilaburkan untuk menghasilkan produk yang sempurna tetapi belum tentu memenuhi kehendak pasaran.
Tesla menggunakan konsep pra-tempahan di mana mereka mereka menghasilkan prototaip berdasarkan idea dan melancarkannya sebagai demonstrasi. Kemudian mereka cuma perlu membuka tempahan jualan dan menunggu sama ada produk mereka akan mendapat sambutan ataupun tidak.
Ia bukan hanya memberikan keyakinan mereka terhadap pasaran tetapi pada masa yang sama membawa masuk aliran tunai untuk membantu mereka dalam proses produksi.
Akhir sekali, anda kena ingat bahawa dalam perniagaan, anda mesti memberikan pelanggan apa yang mereka mahu dan kemudian barulah mereka akan memenuhi permintaan anda.
Pelajaran 2 – Tetapkan pendirian anda
Jonathan kemudiannya menunjukkan gambar trak tersebut kepada teman wanita beliau tetapi wanita tersebut tidak menyukainya dan mengatakan kelihatan terlalu futuristik.
Jelas sekali menurut Jonathan teman wanita beliau bukanlah sasaran pasaran yang tepat untuk trak tersebut tetapi beliau sendiri memang sangat meminati produk yang berciri futuristik. Dengan kata lain ada produk mungkin tidak digemari sesetengah pihak tetapi ada juga yang menggemarinya.
Tesla Cybertruck seperti juga kereta-kereta Tesla sebelumnya tidak akan mampu memikat perhatian semua manusia tetapi bagi sebahagian lagi ia memang sangat dinantikan. Sebenarnya tidak ada satu produk pun yang mampu memuaskan hati semua pihak. Betul tak?
Kita kena belajar menerima kenyataan bila kita melakukan sesuatu ada pihak yang suka dan ada yang tidak suka. Yang tidak menyukai kita ataupun haters memang ada di mana-mana tapi jangan pedulikan mereka. Sebaliknya beri perhatian yang lebih kepada mereka yang menyukai kita kerana di penghujung hari nanti, inilah mereka yang akan membeli produk kita.
Akhir sekali Jonathan menyatakan yang walaupun ramai yang mengetawakan Musk akibat insiden sewaktu pelancaran tempohari tetapi Musk telah memperkenalkan model perniagaan yang sangat kreatif dalam dunia pemasaran yang serba pantas hari ini.
Lagi pun mana orang kekayaannya menyusut dalam satu hari tetapi kemudian membuat keuntungan berganda-ganda dalam masa yang sama bermodalkan sebuah trak yang belum pun memasuki fasa produksi.
Kredit kepada Jonathan Quek.