Buletin

BAS MASUK PERIGI SELEPAS LANGGAR TUK-TUK, 26 MAUT DI INDIA

Seramai 26 mangsa, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, terbunuh selepas bas yang dinaiki berlanggar dengan sebuah tuk-tuk dan kemudian terjunam ke dalam perigi.

Kejadian berlaku di Nashik, Barat India pada malam Selasa itu turut menyaksikan 32 orang yang cedera dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.

Pasukan menyelamat yang bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan terpaksa menggunakan kren untuk mengeluarkan mangsa dan menarik keluar bas malang tersebut.

Pemandu bas ialah antara yang maut di lokasi kejadian yang terletak 254 kilometer dari Mumbai.

India mencatat jumlah angka kematian trafik tertinggi di dunia dengan lebih 150,000 kematian setiap tahun.

Antara punca kemalangan adalah disebabkan oleh jalan raya yang tidak sempurna, sikap pemandu dan penyelenggaraan kenderaan yang teruk. – Astro Awani

Google ads
Back to top button