Buletin

AIRASIA BAKAL LAKSANA SOP PERJALANAN BAHARU PASCA COVID-19

AirAsia Group bakal melaksanakan standard atau dasar perjalanan baharu untuk para penumpangnya berikutan pandemik COVID-19.

Ini termasuk memerlukan penumpang untuk membawa dan memakai topeng muka mereka sendiri sebelum, semasa dan selepas penerbangan. Tidak terkecuali semasa mendaftar masuk dan mengambil bagasi.

Penumpang tanpa topeng muka tidak akan dibenarkan untuk menaiki pesawat, jelas Ketua Pegawai Keselamatan Kapten Ling Liong Tien dalam satu kenyataan di laman web AirAsia.

AirAsia turut menyemak semula dasar bagasi kabin untuk memudahkan penjarakan sosial, terutamanya semasa naik dan turun pesawat. Hanya hanya satu bagasi kabin tidak melebihi lima kilogram bagi setiap penumpang akan dibenarkan.

Menurut Liong Tien, langkah itu dapat membantu mengurangkan kontak yang tidak diingini di antara penumpang dan bagasi penumpang yang lain dan sebaliknya.

Pemeriksaan suhu di pusat pemeriksaan yang berbeza akan dilaksanakan. Ini termasuk pintu masuk dan semua kru dikehendaki menjalani pemeriksaan suhu selepas setiap syif.

Penjarakan sosial perlu dipantau dan akan terdapat penanda di lantai di kawasan untuk beratur, termasuk kaunter daftar masuk serta kiosk.

“Langkah keselamatan lain ialah kaunter daftar masuk alternatif untuk memastikan jarak yang mencukupi. Kami juga sedang mengusahakan untuk mempunyai proses daftar masuk tanpa kontak,” katanya.

Kru kabin dikehendaki untuk memakai peralatan perlindungan di dalam pesawat, termasuk topeng muka dan sarung tangan.

Kakitangan pengeluaran pula akan dipantau mengikut garis panduan COVID-19. Sementara kru kabin yang mengendalikan item menu perlu memakai sarung tangan pakai buang.

“Kru kabin kami telah dilatih dengan prosedur untuk menguruskan pesakit atau penumpang yang disyaki tidak sihat di dalam pesawat.

“Keselamatan menjadi komponen paling penting dalam industri penerbangan. Sudah pasti kami akan terus berusaha untuk memastikan kesalinghubungan penting ini memenuhi semua standard kesihatan dan keselamatan yang diperlukan untuk pekerja dan penumpang kami,” katanya. – BERNAMA

Google ads
Back to top button