Artikel Pilihan

5 KENDERAAN FILEM ADIWIRA PILIHAN KAMI

Dunia ini memang tidak pernah adil. Para adiwira bukan hanya mempunyai kuasa luar biasa, teman wanita yang cantik molek tetapi mereka juga mempunyai gaya hidup yang tersendiri.

Paling penting sekali mereka biasanya mempunyai kenderaan yang berbeza dari kebanyakan orang biasa untuk memerangi kejahatan.

Orang biasa macam kita apa yang ada? Teman wanita? Boleh tahan lah. Duit? Tak pernah cukup sampai tengah bulan. Kereta? Ada. Supercar jadian limited edition warna kuning yang dikeluarkan sebanyak 350,000 unit.

BACA – FILEM AKSI KERETA TERBAIK

BACA – THUNDERBOLT PERNAH DIFILEMKAN DI SHAH ALAM 

Jadi di sini kami senaraikan beberapa buah kenderaan adiwira yang terhebat sepanjang zaman. Ada yang baru dan ada yang lama. Maklumlah ramai warga emas kat Mekanika ni.

1. BATMOBILE (1966-68)

1-batmobile-1966-kredit-buybatparts

Ini merupakan kereta adiwira paling otai sekali kerana muncul buat pertama kali dalam tahun 1966. Ianya merupakan kenderaan Batman yang dilakonkan oleh Adam West pada ketika itu. Menariknya ia merupakan siri TV dan bukannya filem seperti yang kita saksikan sekarang.

Jika dilihat dari depan, Batmobile ini kelihatan seperti helmet Bobba Fett tetapi dikacukkan dengan muka Jimi Hendrix. Kau faham tak ni?

Ia diasaskan daripada model prototaip Lincoln Futura dengan sirip-sirip pada bahagian badan ia lebih menyerupai ikan jerung daripada seekor kelawar. Semestinya sebagai kenderaan rasmi adiwira ia mempunyai pelbagai gajet untuk membantunya menjalankan tugas menghapuskan penjenayah.

Di antaranya ialah senjata laser, pod roket, Batphone (mesti i-Phone cedok idea ni) lengkap dengan Batcomputer, radar, kamera pandang belakang, semburan asap belakang, siren polis, dua payung terjun untuk membantu mengambil selekoh 90 darjah dan pelbagai ciri tambahan lain.

Dengan kata lain setakat kereta-kereta James Bond yang paling power tu memang jadi sarapan pagi je lah bagi Batmobile ni.

2. TUMBLER (BATMAN BEGINS 2005/THE DARK KNIGHT 2008)

2-tumbler-batman-begins

Juga kenderaan kepunyaan Batman tetapi tidak digelar sebagai Batmobile. Tumbler lebih merupakan kenderaan berperisai konsep untuk kegunaan ketenteraan.

Untuk menjelaskannya dengan lebih mudah ia seperti gabungan Lamborghini dengan kereta kebal. Dua kali pandang nampak macam seekor kumbang gergasi yang terlepas dari filem-filem seram. Buruk kalau jumpa parking tepi jalan pun kau rasa nak karate side mirror dia. Tapi sebab dia kereta hero, terpaksalah semua buat-buat puji.

Ia mempunyai pelbagai gajet sama seperti Batmobile klasik lakonan Adam West tetapi dengan kuasa tembakan yang lebih besar. Ianya cukup sesuai untuk memusnahkan sebuah bandar dan bukannya menyelamat.

Tumbler muncul dalam dua siri filem Batman dan kali kedua bertambah dramatik bila ia boleh meleraikan bahagian sisinya dan bertukar menjadi sebuah superbike. semestinya superbike adiwira berbeza dengan Demak LC jadi-jadian yang anda tunggang 7 hari seminggu.

3. BLACK BEAUTY (THE GREEN HORNET 2011)

3-green-hornet

Black Beauty merupakan kenderaan rasmi adiwira sengal yang menggelarkan diri beliau Green Hornet lakonan Seth Rogen. Ia diasaskan daripada model Chrysler Imperial keluaran tahun 1964-66 dan diubahsuai oleh pembantu Green Hornet lakonan Jay Chou.

Kenderaan ini menggunakan enjin GM Performance ZZ454 yang mampu menghasilkan 500 kuasa kuda bila digabungkan dengan kotak gear manual Race Trans Turbo 400. Spesifikasinya sahaja sudah cukup untuk membuatkan kita semua merasa rendah diri.

Jika itu masih belum mencukupi, ia turut dilengkapkan dengan sepasang minigun yang keluar dari bahagian bonnet, mesingan AR-15, satu lagi minigun di bahagian but, 12 peluru berpandu Stinger, kelengkapan kalis peluru dan pelbagai lagi ciri tambahan lain.

Ruang kargo? Itu tidak penting kerana semua adiwira cuma mempunyai sehelai pakaian seragam sahaja. Kan?

4. GHOST RIDER (GHOST RIDER 2007)

4-ghost-rider

Ghost Rider ni special sikit sebab adiwira seorang ni cuma pakai motor. Yelah dah namanya pun Penunggang Hantu. Lagipun kalau naik kereta, mau hangus satu kereta.

Sedikit berbeza daripada versi asal di dalam buku komik. Motosikal Ghost Rider ini sepanjang 12 kaki dan merupakan gabungan logam dan tulang yang menjadikannya…. Raksaksa.

Pujian harus diberikan kepada pasukan kesan khas bagi filem ini yang menjadikan motosikal Ghost Rider ini sungguh cool walaupun pada masa yang sama menyala-nyala dengan api.

Motosikal ini lebih ganas kerana ia langsung tidak dilengkapi dengan gajet tetapi mampu memecut dengan kelajuan tinggi dan boleh ditunggang ke mana-mana sahaja, baik di daratan, dalam air, di dinding bangunan ataupun dipermukaan air seperti jet ski (dengan api yang tidak pernah padam).

Ada tak sapa-sapa nak jual Jaguh murah-murah?

5. BATMOBILE (1989 DAN 1992)

5-batmobile-1992

Sekali lagi kereta Batman yang memakai gelaran Batmobile. Bagi kami inilah Batmobile terbaik pernah dihasilkan dan muncul dalam dua siri filem Batman. Walaupun mungkin ia tidak mempunyai gajet sebanyak Batmobile klasik tahun 60an tetapi Batmobile ini kelihatan lebih cool dan penuh misteri. Ia juga hampir menyerupai model kereta perlumbaan Le Mans 24-jam.

Menurut fakta yang diberikan krew produksi filem ini, kereta ini mempunyai turbin yang berfungsi dengan sepenuhnya selama 15 saat untuk membantu memecut dengan pantas sewaktu beraksi.

Untuk memerangi penjenayah ia juga dilengkapi dengan dua laras mesingan Browning, cangkuk bertali untuk mengambil selekoh tajam, penyembur asap dan minyak pelincir untuk mengelak dari dikejar. Malah ia turut mempunyai perisai kalis peluru dan bermacam lagi ciri tambahan.

Sekali lagi di dalam filem Batman Returns, Batmobile ini boleh diceraikan agar menjadi lebih kecil untuk memasuki laluan ataupun lorong-lorong yang sempit.

ANDA NAK YANG MANA?

Itulah antara 5 kenderaan adiwira yang menjadi pilihan kami. Ada banyak lagi pilihan lain dan mungkin anda ada pilihan anda sendiri. Boleh cadangkan kepada kami dan kami akan cari info lengkap mengenainya.

Satu perkara yang pasti untuk menjadi adiwira, anda kena ada banyak duit.

Mana ada adiwira naik LRT ataupun bawak motor yang digunakan Pak Amid ulang alik pergi surau?

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button