Artikel Pilihan

TOYOTA BAKAL PERKENALKAN GR YARIS RZ-H – KALI INI DENGAN GEAR AUTO TUAN-TUAN

Sebut sahaja nama GR Yaris dah tentu ramai yang tersengih memikirkan tentang kelincahan dan kuasa kereta ini. Sengihan itu makin pudar bila sedar ia sebenarnya di luar kemampuan ramai termasuk kami sendiri. Tahun depan satu lagi varian dikatakan akan diperkenalkan di Tokyo Auto Salon dan kali ini dengan gear automatik.

Apa GR auto? Tak lelaki langsung. Itu reaksi biasa yang boleh diucapkan oleh kaki-kaki acah racing di luar sana. Betul, memang GR Yaris sebelum ini hanya ditawarkan khusus dengan gear manual. Namun itu tidak menghalang Toyota untuk membangunkan kotak gear auto 8-kelajuan terbaru yang dinamakan GR-DAT ataupun “Direct Auto Transmission”. Ia dikatakan bakal memberikan pengalaman baharu kepada pemandu.

Sistem DAT ini sebenarnya sudah pun diuji pada prototaip perlumbaan GR Yaris dan Akio Toyoda sendiri melabelkan transmisi ini sebagai “game-changer”. Laman permotoran Jepun Mag X menyatakan transmisi ini bakal dilengkapkan pada GR Yaris RZ-H yang akan didedahkan kepada umum di Tokyo Auto Salon yang akan berlangsung dari 12-14 Januari 2024.

Ia disifatkan berada ditengah-tengah antara gear manual yang sukar dipelajari oleh generasi sunat laser dan gear automatic biasa yang dianggap lemau oleh kaki racing amatur. Toyoda sendiri mengaku yang sistem transmisi baharu ini membantu beliau mencatat keputusan yang lebih baik sewaktu bersaing dengan pelumba professional seperti Abang Japar. Maaf, Hiroaki Ishiura.

Menurut Ishiura, dalam litar perlumbaan sistem gear automatic biasa akan membuatkan pemandu merasa tergelincir dan menjejaskan kemampuan pemandu untuk merasai hubungan dengan gear. Inilah kepentingan huruf ‘D’ pada sistem DAT. Ia memberikan hubungan secara terus antara pemandu dan kotak gear seperti yang dirasai oleh pemandu yang menggunakan gear manual.

Selain versi automatik GR Yaris, Toyota juga sedang menyiapkan dua model edisi khas yang dinamakan Ogier Edition dan Rovenpara Edition sebagai menghargai kejayaan mereka dalam kejohanan WRC. Setiap satu hanya dikeluarkan sebanyak 100 unit. Model mana? Tunggu ke Tokyo Auto Salon nanti.

Google ads
Back to top button