
FREE BIRDS:PAPARAN TANPA JIWA
Judul: Free Birds
Genre: Animasi
Pengarah: Jimmy Hayward
Pelakon (suara): Owen Wilson, Woddy Harrelson, Amy Poehler, George Takei, Colm Meaney dan Dabid Keith
Bintang: **1/2
Dua ekor ayam belanda dari dunia masa depan, Reggie dan Jake mengembara merentasi masa ke tahun 1621. Itulah intipati menarik juadah pertama filem animasi untuk tayangan musim cuti sekolah di Malaysia.
Produksi garapan Jimmy Hayward ini menampilkan dua nama yang gah dalam genre komedi Hollywood, Woddy Harrelson dan Owen Wilson masing-masing untuk suara Jake dan Reggie. Itu antara daya tarikan utama naskhah yang diberi judul, Free Birds ini.
Kenapa Free Birds (Burung-burung yang bebas)? Tujuan Reggie dan Jake mengembara ke tahun 1621 sebenarnya adalah untuk mengubah sejarah perayaan Hari Kesyukuran (Thanksgiving) yang diraikan penganut agama Kristian pada setiap 28 November.
Mereka ada misi yang jelas, nekad dan tekad – untuk membebaskan spesies ayam belanda daripada menjadi korban setiap kali Hari Kesyukuran tiba. Reggie sebelum ini sering tertanya-tanya kenapa dia dan rakan-rakannya sering diberikan makanan yang banyak oleh tuan mereka sehingga mereka menjadi gemuk.
Realiti kemudian menjadi mimpi ngeri buat Reggie apabila dia mendapat tahu spesies ayam belanda sememangnya sering dijadikan juadah istimewa Hari Kesyukuran. Plot dan penampilan pelakon utamanya menjanjikan suatu keterujaan. Namun malangnya Free Birds gagal diolah dengan baik.
Mungkin untuk anak-anak kecil yang menonton tanpa banyak soal, kekurangan yang terkandung dalam naskhah ini tidak dipedulikan mereka. Tetapi bagi penonton dewasa dan golongan kanak-kanak yang sudah boleh berfikir secara sedikit kritikal, Free Birds pasti mengecewakan mereka. Andai kata mereka mengharapkan naskhah ini setaraf dengan Finding Nemo, Toy Story, Shrek dan yang seumpamanya.
Paling malang, elemennya terasa hambar impak daripada watak-watak yang dipaparkan secara konvensional sehingga menaikkan darjah kebosanan. Malah, suntikan teknologi 3D juga gagal menghalang daripada mengelakkan kebosanan yang menghantui Free Birds.
Cuma apa yang boleh dipuji, suara pelakon-pelakon untuk watak-watak dalam Free Birds memang sesuai. Malangnya itu belum cukup untuk menjadikan naskhah ini penuh hidup dan ceria. Apabila filem animasi yang sepatutnya muncul ceria, maka terpaparlah sebuah naskhah tanpa jiwa. – YUSMAN AWANG