Buletin

TORSUS TERRASTORM – BAS MINI 4X4 UNTUK GUNA LASAK!

Ini TERRASTORM, bas mini 4×4 luar jalan raya (off-road) dari TORSUS, pengeluar bas kerja berat (heavy duty) dengan ibu pejabat di Republik Czech. 

Sebelum ini TORSUS pernah tampil dengan PRAETORIAN, sebuah bas 4×4 untuk kegunaan industri seperti minyak dan gas, perlombongan, pengembaraan dan sebagainya.

TERRASTORM direka sebagai pengangkutan penumpang dan kargo ke lokasi yang paling tidak berpenghuni di dunia. 

TORSUS tidak mengeluarkan kenderaan sendiri sebaliknya mengubahsuai model sedia ada di pasaran. 

TERRASTORM dibangunkan dari casis Volkswagen Crafter/MAN TGE 4Motion yang menggunakan enjin 2.0 liter bi-turbo diesel EURO VI.

Dua output kuasa enjin ditawarkan iaitu 140PS, 340 Nm atau 176PS, 410 Nm yang dipadan bersama transmisi enam kelajuan manual atau lapan kelajuan automatik.

Bas lasak ini direkayasa (engineered) dan dikeluarkan di kilang TORSUS yang terletak di Slovakia dan menggunakan pengetahuan dari penghasilan PRAETORIAN sebelum ini.

TERRASTORM telah menjalani program ujian yang ketat di beberapa kemudahan ujian di dan sekitar Republik Czech dan Slovakia termasuk lapangan ujian Tatra yang ikonik.

Ini memastikan TERRASTORM dapat bertahan dan dikendalikan melebihi penggunaan biasa di luar jalan raya dan pada masa yang sama tetap boleh digunakan dan selesa di jalan raya.

Satu lagi ciri yang dimaklumkan TORSUS ialah TERRASTORM turut dibina supaya cemerlang untuk digunakan oleh keluarga pada hujung minggu.

TORSUS TERRASTORM ditawarkan dalam dua varian seperti berikut:

TORSUS TERRASTROM TT1 Coach dan TT1 Nomad

  • Casis yang dinaiktaraf dan suspensi luar jalan raya.
  • Pacuan semua roda dan kunci pembeza belakang (locking rear differential).
  • Winc pada bampar depan dengan daya tunda sehingga 5,500kg.
  • Pemijak sisi, lapisan tahan calar pada panel badan bawah.
  • Plat kelincir (skid plate) Duraluminium dari enjin dan kotak gear hingga ke pembeza belakang dan tangki minyak.

TORSUS TT2 Nomad (tambahan)

  • Bull bar depan dan jeriji lampu belakang.
  • Rak bumbung dengan lampu bersepadu.
  • Rak tayar gantian dan tangga belakang.

Suspensi dan tayar

Suspensi depan TERRASTORM menggunakan jenis MacPherson dengan penyerap hentak Bilstein B6 yang turut menawarkan keselesaan.

Dengan badan yang ditinggikan, bolt kamber 4×4 boleh laras Ironman dipasang dan menawarkan larasan kamber ± 1.75.

Pada bahagian belakang, suspensi yang digunakan adalah kombinasi pegas daun (leaf spring) dengan Ironman 4×4 Load Plus.

Pembeli turut diberi pilihan penyerap hentak Profender Dakar dengan kawalan takungan tambahan berserta axle stroke yang dipanjangkan.

Kombinasi suspensi luar jalan raya dan tayar tugas lasak BF Goodrich All Terrain T/A KO2 17 inci memberikan jarak kelegaan bumi 290 mm.

Sudut sua dan sudut pelepasan belakang (aproach, departure angles) ialah 26 darjah dan 20 darjah.

Keupayaan mengharungi pula 690mm dan pembeli boleh mendapatkan set Deep Wave yang membolehkan bas ini mengharungi air sehingga 820mm.

Bahagian dalaman

TERRASTORM boleh memuatkan dari sembilan hingga 20 penumpang dengan kerusi jenis selesa tinggi dan bergantung pada varian dibalut fabrik atau kulit eco dan dipasang tali keledar tiga sudut.

Bahagian pemandu pula mempunyai panel kawalan skrin sentuh bagi melaras pemanasan, lampu, penyaman udara, sistem pembesar suara dan status kesemua kelengkapan.

Satu keistimewaan TERRASTORM ialah kerusi yang boleh dipusing dan dilengkapi meja pelbagai guna.

TORSUS TERRASTORM juga boleh dipesan untuk pelbagai kegunaan seperti pelancongan, pengembaraan, perlombongan dan khidmat ambulan atau MEDIVAC TERRASTORM yang mengikut peraturan EU atau setempat.

TERRASTORM turut boleh digunakan sebagai kenderaan kargo untuk ke lokasi terpencil atau sebagai kenderaan penyelengaraan infrastruktur.

Penyelenggaraan dan penjualan

Suatu yang bagus mengenai TERRASTORM ialah apabila khidmat sokongan yang ditawarkan oleh pusat servis Volkswagen dan MAN. 

TORSUS sekarang ini diwakili dan diedarkan di tiga benua iaitu Eropah, Australia, Amerika Selatan dan dijual di enam buah negara iaitu Jerman, Poland, Australia, Chile, Peru dan Ukraine.

Rundingan sedang dijalankan untuk dikembangkan ke UK, UAE, Argentina, Perancis, Kanada, Filipina, Kazakhstan, AS dan Arab Saudi.

Berapakah harga TORSUS TERRASTORM? Bermula dari €57,461 (RM286,975) dengan penghantaran pertama pada suku ketiga 2020.

BACA: SUV MAMPU MILIK: PERODUA KEMBARA, LASAK DAN BOLEH DIHARAP

BACA: ENJIN TURBO PENGELUAR MANAKAH YANG PALING LASAK DAN DIPERCAYAI?

BACA: MITSUBISHI XPANDER MASUK PASARAN MALAYSIA TAHUN INI

Google ads
Back to top button