
TOYOTA BANGUNKAN BATERI SOLID STATE. CAS 10 MINIT, 500KM
Menerusi portal media Nikkei Asia, Toyota menyatakan bateri solid state yang sedang dibangunkan oleh Toyota dan juga rakan teknikal mereka iaitu Panasonic berupaya dicas penuh dalam masa 10 minit sahaja. Dan setelah penuh kereta elektrik yang dibangunkan oleh Toyota boleh dipandu sejauh 500km. Secara teori itu merupakan jarak dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.
Antara masalah yang disedari oleh Toyota ketika membangunkan kereta elektrik ialah range anxiety iaitu rasa was-was pemandu sejauh mana kereta elektrik mereka boleh dipandu sebelum kehabisan tenaga elektrik. Setelah habis, kereta elektrik mereka perlu dicas selama beberapa jam untuk kembali penuh dan boleh dipandu semula. Ini merupakan antara masalah yang dihadapi dengan menggunakan teknologi bateri ion lithium.
Untuk menghaspuskan terus masalah ini, Toyota dan Panasonic membangunkan teknologi bateri solid state. Bateri solid state menggunakan teras elektrod pepejal dan elektrolit pepejal, berbeza dengan bateri polimer ion lithium yang menggunakan gel. Antara bahan pilihan sebagai elektrolit ialah sulfida, fosfat dan juga seramik. Walaupun kecil, ketumpatan tenaga bateri solid state jauh lebih baik berbanding ion lithium

Bateri solid state dijangka akan menjadi pilihan terbaru dalam penghasilan kereta elektrik pada masa depan berbanding dengan bateri ion lithium kerana risiko kebakaran yang lebih rendah, kandungan tenaga yang lebih tinggi serta lebih ringan. Dengan tempoh masa pengecasan sekitar 10 minit, ia mengurangkan masa terbuang untuk pengecasan sebanyak 67%. Malah disebabkan ia lebih ringan, ruang kabin dalam kereta kekal luas.
Toyota telah membangunkan sekitar 1000 paten melibatkan teknologi bateri solid state ini dengan jangkaan pakar automotif kereta elektrik Toyota akan mula dijual pada tahun 2025. Rancangan untuk menghasilkan bateri solid state ini juga disokong oleh kerajaan Jepun dengan bantuan dana sebesar 19.2 billion USD pada ekosistem rantaian pembekalan.
Dana ini juga untuk membantu menggerakkan ekosistem pembekal bagi menghasilkan bateri solid state ini secepat mungkin untuk kegunaan industri automotif. Sebagai contoh Mitsui Mining and Smelting akan memulakan fasiliti bagi menghasilkan elektrolit pepejal untuk bateri ini dengan bantuan dana ini.

Toyota juga berupaya mengatasi masalah kecekapan bateri yang hilang keupayaan menyimpan cas setiap tahun jika menggunakan bateri ion lithium. Bateri solid state rekaan Toyota berupaya menyimpan sehingga 90% cas selepas 30 tahun digunakan. Keiji Kaita, VP Toyota Powertrain mengatakan protaip bateri ini masih dalam pembangunan
Salah satu cabaran yang dihadapi oleh pasukan mereka ialah bateri akan rosak selepas proses pengecasan yang kerap dan pasukan mereka masih membangunkan gabungan elektrod dan elektrolit yang sesuai untuk mengatasi masalah ini.
Cabaran kedua dalam menghasilkan bateri ini ialah ia memerlukan persekitaran yang sangat bersih dan kering untuk proses pembuatan yang memerlukan operator menggunakan sarung tangan getah sepanjang masa. Manakala bateri pula diletakkan dalam ruang khas yang telah dikeringkan. Keadaan ini menyukarkan proses pembuatan berskala besar.