Buletin

TOYOTA MAHU BINA KILANG DI MYANMAR – BAKAL PASANG TRAK PIKAP DI SANA

Toyota Motor Corp. dilapor merancang untuk membina sebuah kilang pengeluaran kenderaan di Myanmar.

Satu pengumuman rasmi dijangka dibuat sebelum akhir bulan ini dengan pembinaan diajual bermula pada tahun ini.

Kilang yang akan beroperasi di Zon Ekonomi Khas Thilawa, pinggir bandar Yangon itu akan memasang trak pikap di mana alat gantinya diimport dari Jepun dan negara-negara berhampiran.

Myanmar mempunyai populasi seramai 50 juta penduduk, sama seperti Korea Selatan dan Sepanyol. Ia disifatkan sebagai sebuah negara orang muda dengan purata umur warganya ialah 27.9 tahun.

Walaupun Myanmar merupakan salah sebuah negara paling miskin di Asia, ia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang mantap dengan jangkaan berkembang pada kadar 6 hingga 7 peratus setahun.

Pada tahun 2018, hanya 17,500 unit kenderaan baharu dijual di sana. Tetapi angka itu adalah sekali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Toyota yang kini mengeksport kira-kira 2,000 unit kenderaan penumpang dan komersial ke Myanmar setiap tahun melihatnya mempunyai potensi pertumbuhan yang kukuh.

Sehingga Disember 2018, Toyota memiliki 50 tapak pengeluaran kenderaan dan alat ganti di 27 buah negara. Kilang di Myanmar akan menjadi tapak strategiknya yang baru.  

Kerajaan Myanmar telah melaksanakan polisi yang memberi cukai khas kepada syarikat yang menghasilkan kenderaan di sana. Suzuki Motor Corp. ialah salah sebuah syarikat Jepun yang terawal meneroka pasaran tersebut.

Ia mempunyai dua buah kilang yang memasang kereta kompak dan menguasai lebih daripada pasaran automotif Myanmar. Nissan Motor Co. dan Ford Motor Co. merupakan antara pengeluar yang ada di sana.

Toyota mengambil keputusan untuk membina sebuah kilang baharu di Myanmar kerana menjangkakan ia bakal mempunyai pertumbuhan ekonomi yang mantap.

Pendapatan negara kasar Myanmar hanya sekitar ¥140,000 (RM5,400). Namun, populasinya dijangka terus berkembang.

Penganalisis percaya Myanmar berpotensi untuk berkembang menjadi pasaran yang sama besarnya seperti Thailand (populasi 69 juta) dengan 1 juta kenderaan dijual setiap tahun.

Biarpun pasaran automotif Myanmar dimonopoli oleh kenderaan terpakai Jepun, jualan kereta baharu naik sekali ganda pada tahun 2018. Ini jelas menunjukkan pertumbuhan ketara untuk kenderaan baharu.

sumber: The Japan News

Google ads
Back to top button