Buletin

TOYOTA C-HR GR SPORT, C-HIC 2021 MASUK PASARAN EROPAH

Pengeluar Jepun, Toyota menambah satu lagi model GR Sport di Eropah dengan pengenalan C-HR 2021.

Model C-HR GR Sport hadir dengan ciri-ciri eksklusif pada kemasan luaran dan dalaman agar menyerlahkan lagi sisi sporty jentera terbaharu ini.

Ia turut dilengkapi suspensi dan pengendalian yang ditala untuk peningkatan pemanduan dinamik sekali gus memberi keselesaan kepada pemandu.

Crossover segmen B dikelilingi dengan tema gelap ini mendapat sentuhan gril krom berwarna hitam dan rekaan splitter hadapan lebih garang.

Selain itu, C-HR GR Sport menawarkan sembilan warna dua tona termasuk kelabu (Dynamic Grey) kepada para pembeli.

Bagi melengkapkan sisi sporty, ia didatangkan rim eksklusif 19 inci dibaluti tayar Continental Premium Contact 6 225/45.

Bahagian dalaman kabin pula, C-HR GR Sport hadir dengan pilihan tempat duduk fabrik upholsteri atau gabungan kulit dan Alcantara bersama perincian jahitan berwarna merah serta kelabu.

Roda stereng dan gear dibaluti kulit malah terdapat kemasan jahitan berwarna merah.

Apabila menggunakan panel instrumen terdapat animasi GR pada skrin TFT. Tidak dilupakan lencana GR dipadankan di tempat duduk.

Ciri-ciri lain termasuk sistem audio premium JBL, cermin sisi boleh dilipat, lampu utama LED, cermin gelap di bahagian belakang dan sistem pintar masuk tanpa kunci.

Dari segi aspek keselamatan, C-HR GR Sport didatangkan teknologi Toyota Safety Sense merangkumi bantuan kecemasan stereng, Intersection Turn Assist, Lane Trace Assist dan kawalan cruise.

Toyota turut memperkenalkan varian C-HIC untuk model tahun 2021 yang menerima rim 18 inci dan empat pilihan warna dua tona termasuk warna baru, gangsa (Oxide Bronze).

C-HIC yang mendapat balutan kulit dua tona Orchid/Black dijangka memasuki pasaran Eropah pada bulan ini – carscoops.

Google ads
Back to top button