Buletin

TOYOTA CATAT ANGKA JUALAN POSITIF PADA APRIL 2021 DENGAN 9,280 UNIT

UMW Toyota Motor baru-baru ini mengumumkan angka jualan positif bagi bulan April 2021 apabila sebanyak  9,280 unit kenderaan Toyota dan Lexus berjaya dijual.

Pertumbuhan itu dipacu oleh pemulihan keyakinan serta meningkatnya kuasa membeli pelanggan. Ini secara langsung meningkatkan permintaan terhadap model-model baru Toyota. Angka tersebut didorong oleh pelanggan yang ingin memanfaatkan pengecualian SST yang akan berakhir 30 Jun nanti.

Prestasi jualan April turut disumbang oleh pengenalan model baru Corolla Cross dan Harrier. Ia merupakan usaha Toyota untuk memenuhi permintaan serta keperluan pelanggan generasi baru yang semakin meluas. 

Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama menyatakan pengenalan beberapa model baru yang tepat pada masanya berhasil mengukuhkan posisi Toyota dalam beberapa segmen kenderaan. 

“Kenderaan generasi baru Toyota boleh dipercayai, lasak, jimat untuk dimiliki dan sangat praktikal. Bukan itu sahaja, ia membawakan tahap baru dari segi keselesaan, prestasi dan keseronokan memandu yang menepati selera pelanggan generasi baru,” kata Takeyama. 

Presiden UMWT, Ravindran K. memberitahu pihaknya komited untuk memperluaskan rangkaian jualan dan selepas jualan. Ia juga akan melibatkan pengenalan lebih banyak tawaran menarik kepada pelanggan. Di samping pengalaman pemilikan yang dipertingkatkan.

Justeru, UMW Toyota Motor mengumumkan pembukaan pusat 2S (Jualan dan Servis) di Cheras (PDC Automobile), serta pembukaan dua lagi pusat 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) April lalu oleh Mutiara Motorsport di Johor Bahru dan HLT Temerloh di Kemaman, Terengganu.

“Kami juga akan terus berusaha menambah baik pengalaman digital pelanggan melalui platform lebih baik dan mudah pada masa depan,” tambahnya.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, UMW Toyota Motor menawarkan promosi Ganjaran Tak Terhingga yang membolehkan pelanggan menikmati penjimatan SST bagi model pemasangan tempatan atau import sehingga 30 Jun 2021. 

Pelanggan berpeluang menikmati penjimatan tambahan dengan Toyota Service Savers yang menawarkan ketenangan minda dengan kos selenggara yang rendah. Pembeli kereta baharu juga akan dapat memanfaatkan bayaran ansuran lebih rendah melalui skim pembiayaan EZ Beli (bergantung kepada model yang dipilih).

Google ads
Back to top button