TOYOTA CAMRY 2.5V, BUKAN LAGI KERETA BOSAN UNTUK WARGA EMAS
“Tiada lagi kereta yang membosankan.” Itulah janji Akio Toyoda pada tahun 2017 ketika ingin menukar imej Toyota yang “skema” kepada imej yang lebih energetik, muda dan meriangkan.
Akio membuktikan janjinya dengan menghasilkan Toyota GR Supra, Toyota GR 86, Toyota GR Yaris dan Toyota GR Corolla. Bagi kereta sedan eksekutif seperti Toyota Camry yang biasa digunakan oleh bos-bos besar pun diberi arah baru supaya tampil lebih segar, tetapi pada masa sama ia mestilah sangat selesa
Dengan rim bersaiz 18 inci, jeriji depan yang lebih bergaya, tip ekzos berkembar dan lampu bi-beam LED yang moden berjaya menampilkan rekaan baru Toyota Camry yang lebih eksklusif dan sporti.
Data menunjukkan Toyota Camry berjaya dijual sekitar 673,300 unit di seluruh dunia, biarpun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Legasi yang disumbangkan oleh jualan 21 juta unit Camry dalam 10 generasi juga membantu meletakkan jenama Camry sebagai satu model yang sangat dipercayai oleh pengguna.
Percaya atau tidak, jentera ini menggabungkan resipi produk yang tahan lasak, boleh diharap dan diberi nafas baru dengan platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Selain merombak semula suspensi belakang dengan binaan double wishbone yang biasa digunakan oleh kereta berprestasi tinggi.
Apa yang magiknya ialah tetapan suspensi ini masih lagi selesa untuk bos berehat di belakang. Manakala pemandu muda mereka pula boleh melayan selekoh seperti di lebuhraya Karak dengan asyik.
Prestasi sedan eksekutif ini disumbangkan oleh enjin Dynamic Force 2,500cc lebih efisyen yang berupaya menjana 206hp dan tork 253Nm. Anda boleh memilih tiga mode pemanduan sama ada Sport, Normal atau Eco. Nak lagi sedap, guna saja sport mode dan paddle shift.
Ia membolehkan anda menukar sendiri gear automatik dengan tawaran lapan nisbah gear, sama seperti kebanyakan jenama premium yang lain. Pemandu juga dimanjakan dengan pelbagai ciri lain seperti Head Up Display, tempat duduk hadapan berkuasa elektrik 10 tetapan, stering bantuan kuasa elektrik dan sistem pembesar suara JBL bersama sembilan unit pembesar suara.
Penumpang belakang pula menerima tirai sisi dan belakang untuk lebih privasi. Kusyen belakang boleh diubah secara automatik menggunakan suis yang boleh dikawal dari perehat tangan belakang.
Panel itu juga membolehkan anda mengawal sistem penyaman udara tri-zone aircond, menukar lagu dan stesen radio.
Pakej sistem keselamatan pula dimasukkan dalam Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri pintar seperti Intelligent Clearance Sonar, Rear Cross Traffic Alert with Braking, Lane Tracing Assist, Lane Departure Alert, Dynamic Radar Cruise Control, Pre-Collision System dan Auto High Beam.
Dengan reputasi Toyota sebagai jenama yang sangat boleh dipercayai, Camry dilindungi oleh jaminan pengeluar tanpa had jarak perbatuan selama lima tahun.
Jadi, anda boleh yakin dengan Camry sebagai sebuah sedan eksekutif yang bukan hanya sebagai alat pengangkutan dari poin A ke B, malah sebuah sedan mewah yang berkuasa, mengujakan dan tidak lagi membosankan.
Anda boleh baca laporan pandu uji kami di SINI
Dan tonton video pandu uji di SINI