
TOYOTA CENTURY, SEDAN MEWAH SETARA DENGAN ROLLS-ROYCE, BENTLEY. HANYA UNTUK JDM
Toyota Century merupakan sebuah kereta sedan ultra mewah buatan Toyota yang amat jarang dilihat di luar Jepun, kerana ia dihasilkan bukan untuk dieksport. Dari segi hierarki, Toyota Century berada lebih atas daripada jenama Lexus iaitu sub-divisi kereta mewah Toyota. Walaupun sudah berada di pasaran bermula dari tahun 1967, hanya 3 generasi sahaja yang dihasilkan sehingga hari ini.
Bagi pasaran domestik Jepun, kualiti binaan, bahan dan rekaan yang ditonjolkan oleh Toyota Century adalah setara dengan model ultra mewah yang lain seperti Bentley atau Rolls Royce. Jadi untuk memasang kereta ini, hanya juruteknik Toyota yang benar-benar berpengalaman sahaja dibenar bekerja dan memasang kereta ini

Walaupun Toyota adalah sinonim dengan kecekapan Toyota Production System, Century sebaliknya dihasilkan di Toyota City Motomachi Plant dengan ketelitian yang sangat tinggi terutama dari segi kejuruteraan dan seni kualiti binaan.
Bagi menjamin kualiti Century, Toyota menghadkan penghasilan kereta ini kepada 50 unit sahaja sebulan dan kebanyakan proses adalah manual dengan tangan. Cesi Century menggunakan N Platform yang menggunakan rekaan pacuan belakang (atau pilihan AWD), enjin depan, suspensi double wishbone di depan dan multilink di belakang.
Trenkuasa Toyota Century pula menggunakan gabungan enjin V8 5000cc dan dipadankan dengan motor elektrik 221 kuasa kuda. Sistem ini mampu menjana 439 kuasa kuda serta dikawal oleh Toyota Hybris System.

Enjin terbaru V8 ini sama seperti yang digunakan dalam Lexus LS600H bagi menggantikan enjin V12 5000cc yang pernah dipasang pada Century. Dengan panjang 5335mm, jarak antara roda 3090mm, lebar 1930mm, berat 2370kg enjin dan sistem hibrid ini mampu membuat pecutan 0-100km/j dalam masa 6 saat serta halaju maksima dihadkan pada 250km/j.
Tapi jangan terkejut kerana Toyota Century masih berupaya mencatatkan bacaan bahan api sekitar 13.6km bagi setiap liter petrol. Tapi tujuan utama Century dibina bukanlah untuk berlumba, tapi membawa ahli keluarga diraja Jepun, CEO syarikat besar dan juga pegawai tertinggi kerajaan dari poin A ke poin B dalam keadaan paling selesa, paling senyap dan kabin mewah berkualiti tinggi

Antara ciri-ciri mewah yang ada pada Toyota Century termasuklah:
1. Memberi fokus kepada tempat duduk VIP belakang, dengan ciri baring (recliner), pemanas, mesin urut dan perehat kaki boleh laras dengan bantuan elektrik
2. Sistem infohibur dengan skrin sebesar 20 inci yang dipasang di bahagian tengah dengan 20 sistem pembesar suara
3. Fabrik untuk tempat duduk dihasilkan dengan menggunakan bulu 100% biri-biri original tapi pada masa sama pelanggan boleh memilih untuk menggunakan kemasan kulit dengan 2 tona warna berbeza

4. Tiada logo Toyota digunakan sebaliknya ia menggunakan logo burung mistik dalam kepercayaan masyarakat Jepun yang dikenali sebagai Fushico di bahagian depan. Tulisan CENTURY pula dipasang di bahagian belakang di atas penutup kargo
5. Jeriji depan dipasang menegak mengekalkan rekaan klasik Century generasi pertama dan rekaan ini juga digunakan untuk bahagian lampu belakang yang sama seperti rekaan generasi pertama
Berbeza dengan kilang Toyota lain, fasiliti untuk menghasilkan Century sangat berbeza dengan bilangan juruteknik kemahiran tinggi yang sedikit, bekerja di ruang yang luas dan senyap. Semua proses penghasilan Century dimulakan dengan Stamping, mengecat, pemasangan dan pemeriksaan dengan behati-hati.

Semua garisan, bentuk dan jarak antara panel dipasang agar sekata pada semua kenderaan. 4 pekerja yang bertauliah akan mengecat 7 lapisan cat pada Century. Setiap lapisan akan melalui proses wet sanding selama 4.5 jam sebelum dicat semula. Logo burung burung Fuscicho dikatakan mengambil masa sehingga 6 minggu untuk dihasilkan dan akhirnya dipasang dengan teliti pada Century.
Apabila siap, kereta ini akan dijual kepada pelanggan yang menempahnya pada harga sekitar RM 753,000 untuk pasaran Jepun. Kalau sampai ke Malaysia, insyaAllah haraganya lebih sejuta. Ya baik beli 25 biji Alza baru….