SERLAHKAN KETERAMPILAN ANDA DENGAN TOYOTA CENTURY TOM’s RACING
Berbeza dengan kereta pilihan para CEO di Malaysia yang rata-ratanya suka menggunakan sedan mewah keluaran Jerman, CEO Jepun mempunyai lebih pilihan bahkan ianya merupakan keluaran negara mereka sendiri contohnya Toyota Century. Toyota bukan hanya digunakan oleh ahli perniagaan di sana bahkan ia turut menjadi salah sebuah kenderaan rasmi Maharaja.
Satu sahaja masalahnya, ia kelihatan seakan-akan sama dan kebanyakannya berwarna hitam. Kalau anda seorang yang cukup kaya sudah tentu anda perlukan kenderaan yang unik dan bukan kelihatan seperti Toyota Century lain yang digunakan oleh CEO lain.
Jadi apa pilihan yang anda ada untuk memiliki sebuah Toyota Century yang unik? Jika anda ialah Akio Toyoda, CEO kepada Toyota Motor Company, sudah tentu ia bukan masalah besar kerana anda boleh sahaja memiliki Toyota Century GRMN tempahan khas. Begitu juga jika anda merupakan kerabat di Raja Jepun sudah semestinya tiada masalah untuk mendapatkan Century versi convertible.
Jangan bimbang kerana kini ada pilihan ketiga, tapi anda kena bertindak cepat. Ini kerana TOM’s selaku syarikat tuning eksklusif Toyota telah mengeluarkan varian Century mereka sendiri dan ia memang kelihatan sangat bergaya.
Walaupun tiada pengubahsuaian dilakukan pada bahagian enjin hibrid V8 yang turut digunakan oleh Lexus LS, ia masih kelihatan menonjol dan lebih gagah dengan sepasang paip ekzos berkembar TOM’s Barrel.
Bahagian luaran memang sangat berbeza dan segar dengan pengubahsuaian pada bahagian hadapan dan belakang selain skirting sisi, foglamps dan kemasan berwarna perak eksklusif pada spoiler belakang. Sama seperti model eksotik lain, bahagian dalaman Century TOM’s ini juga boleh diberi sentuhan peribadi. Terdapat pilihan material dan gaya jahitan boleh dipilih oleh pelanggan bertuah.
Model yang ditunjukkan di Tokyo Auto Salon ini menggunakan material Nappa di bahagian seluruh bahagian dalaman. Ia turut menarik minat Akio Toyoda yang sempat berhenti dan duduk di dalamnya untuk seketika.
Harga sebuah Century TOM’s ini ialah sekitar RM1.05 juta sebuah. Jauh lebih mahal berbanding Century asal (RM740k). Tapi itulah harga yang peru dibayar untuk eksklusiviti. Masa untuk menghasilkannya ialah sekitar satu ke dua bulan dan cuma 36 unit bakal dihasilkan.
Kredit japanesenostalgiccars.com