TOYOTA CENTURY 2024 DIPERKENAL DI JEPUN, 3.5 V6 PHEV, RM793 RIBU!
Toyota Motor Corporation memperkenalkan Century baharu dalam bentuk kenderaan utiliti sukan (SUV) pada 6 September dan mula mengambil pesanan pada hari yang sama.
Model baharu akan dijual bersama Century sedan generasi ketiga yang berada di pasaran sejak Jun 2018.
Century baharu menggunakan pelantar GA-K dan berkongsi dengan Grand Highlander dan Lexus TX.
Berbeza dengan Century sedan yang menggunakan enjin hibrid 5.0 liter V8, Century baharu digerakkan enjin 3.5 liter V6 hibrid plug-in.
Century generasi pertama diperkenal pada 1967 sebagai kereta premium Toyota dengan pemandu. Sebelum itu segmen tersebut di Jepun dikuasai jenama barat.
Century baharu menggunakan konsep The Chauffeur dan seperti model premium antarabangsa boleh dipesan mengikut citarasa pelanggan.
Century tampil gah dengan gaya berkotak selain bentuk melintang dan menegak. Tiada drama yang berlekuk-lekuk pada Century dengan lampu depan dan belakang juga dibuat berkotak.
Perkadaran kereta dibuat mengikut karakter sebuah kereta dengan pemandu dan menariknya mempunyai pusat graviti di belakang.
Bahagian dalam kereta dilengkapi fungsi dan ciri-ciri untuk kesenangan pemandu profesional.
Walaupun begitu, Toyota juga merekabentuk bahagian dalam untuk pemilik fokus pada pemanduan ketika mereka sendiri memegang stereng.
Kerusi belakang boleh dibaring sepenuhnya dan satu pilihan baik sekiranya syarikat atau pelanggan tidak mahukan Vellfire, Alphard atau Lexus LM.
Sistem audio direka dengan teliti supaya penumpang dapat mendengar bunyian seperti persembahan secara langsung.
Pintu belakang boleh dibuka sehingga 75 darjah dan turut dilengkapi pemijak sisi yang boleh keluar dan disimpan secara automatik. Satu lagi yang menarik ialah Toyota turut menawarkan versi pintu gelangsar.
Untuk keselesaan penumpang, Century mempunyai mod Keselesaan Belakang bagi membantu pemandu mengawal kereta dan memastikan penumpang selesa di belakang.
Sistem itu berfungsi dengan membantu mengawal brek bagi mengurangkan enjutan apabila kereta berhenti. Selesa supaya badan penumpang tidak teranjak ke depan.
Kaca berlamina yang mengurangkan bunyi dipasang pada bahagian kargo bagi mendapatkan suasana senyap dan ruang peribadi untuk penumpang.
Dari segi pengendalian, sistem belokan empat roda Dynamic Rear Steering membantu pengendalian pada kelajuan rendah dan rasa natural dari kelajuan sederhana kepada kelajuan tinggi.
Ketegaran kilasan badan dan keselesaan pemanduan juga dipertingkat dengan struktur badan dan sistem ampaian dibuat mengikut sifat Century sebagai sebuah kereta yang dipandu.
Enjin 3.5 liter V6 2GR-FXS dipadan bersama transmisi eCVT dan pacuan empat roda E-Four Advanced.
Sistem hibrid plug-in menjadikan Century sebagai sebuah kenderaan elektrik bateri (BEV) untuk kegunaan harian dan bertukar kepada hibrid elektrik (HEV) bagi pemanduan jauh.
Sebagai sebuah kereta istimewa, layanan untuk pelanggan juga istimewa.
Toyota menempatkan Century Meisters yang terdiri daripada kakitangan jualan dan jurutera dengan pengetahuan mendalam mengenai Century di pengedar terpiih.
Meister yang bertanggungjawab terhadap jualan akan berkomunikasi dengan setiap pelanggan dan mencadangkan model bersesuaian.
Pada masa depan, pelanggan boleh memesan warna badan dan dalaman mengikut pilihan mereka dan juga menempah sebuah Century tanpa pendua yang dibuat khas oleh karyawan mahir (master craftspeople).
Sebuah Toyota Century berharga 25,000,000 yen (RM793,047).
BACA: TOYOTA LAND CRUISER 70 SERIES DIPERTINGKAT DAN KEMBALI KE JEPUN! ENJIN 2.8L 1GD TURBO DIESEL
BACA: TOYOTA HILUX GR SPORT, TRAK PIKAP TERPALING SUKAN
BACA: TOYOTA GR86 SPESIFIKASI LUMBA DARI AUSTRALIA, RM271 RIBU
BACA: TOYOTA GR COROLLA CIRCUIT EDITION 2024 KEMBALI DITAWARKAN DI AS, CIRI BERBEZA