
TOYOTA COROLLA 2014
Dengan angka jualan mencecah hampir 40 juta unit, Toyota Corolla yang merupakan model terlaris di pasaran seluruh dunia kini menyambut ulang tahun ke-47 di pasaran. Sejak diperkelkan di Jepun pada tahun 1966, ia memainkan peranan penting dalam industri pemotoran.
Corolla kini dihasilkan di 16 buah lokasi dan dijual di 15 buah negara. Popularitinya sebagai kereta global banyak didorong oleh falsafah produk yang ditetapkan oleh ketua jurutera Corolla yang pertama, Tatsuo Hasegawa. Beliau mahu menghasilkan sebuah kereta yang memberikan kegembiraan kepada sema orang.
Justeru, ketika membangunkan generasi ke-11 Corolla, pasukan pereka bentuk dan jurutera Toyota bergantung kepada maklum balas daripada pengguna pada skala global.
Hasilnya, Corolla tampil dengan wajah dan ruang dalaman yang lebih menarik. Perubahan itu dibuat bagi ia mendapat perhatian golongan muda.
Rekaan luaran Corolla bertemakan kepada Iconic Dynamism yang mula-mula diperkenalkan pada model Corolla Furia Concept ketika North American International Auto Show yang lalu.
Bahagian hadapannya memiliki fascia yang lebih tajam. Perincian turut diberikan kepada gril berbentuk trapezoidal besar, selain ruang kemasukan udara yang nipis pada bahagian bawah hud. Harus tahu bahawa Corolla menjadi sedan kompak pertama yang menggunakan lampu utama jenis LED sebagai ciri standard.
Sama seperti penampilan luaran, ruang kabin Corolla juga menggunakan tema Iconic Dynamism yang bergaya dan menekankan aspek kefungsian.
Pengguna di AS ditawarkan dengan empat gred Corolla iaitu L, LE, S dan LE Eco yang baru. Ia dikuasakan oleh dua unit enjin empat silinder alumnimum sepenuhnya bersesaran 1.8 liter.
Enjin asas 1.8 liter dengan sistem VVT-i yang berkuasa 132hp digunakan pada gred L, LE dan S. Sementara gred LE Eco pula menggunakan khidmat enjin 1.8 liter dengan sistem Valvematic yang pertama kali diaplikasikan di pasaran Amerika Utara menerusi Corolla. Berupaya menjana kuasa mencecah 140hp, enjin dikatakan lima peratus lebih jimat berbanding enjin sama dengan sistem VVT-i.
Spesifikasi Enjin Corolla 2014 | ||
Jenis enjin | 2ZR-FE | 2ZR-FAE |
Jumlah silinder/ susunan | 4 silinder sebaris | 4 silinder sebaris |
Mekanisma injap | 16 injap DOHC dengan Dual VVT-i | 16 injap DOHC dengan Valvematic |
Gerek x lejang (mm) | 80.5 x 88.3 | 80.5 x 88.3 |
Sesaran | 1,798cc | 1,798cc |
Nisbah mampatan | 10.0:1 | 10.6:1 |
Sistem bahan api | EFI | EFI |
Kuasa maksimum | 132hp @ 6000rpm | 140hp @ 6100rpm |
Tork maksimum | 128 lb-ft @ 4400rpm | 126 lb-ft @ 4000rpm |
Penjimatan penggunaan bahan api banyak dibantu oleh kotak gear CVT (Continuously Variable Transmission). Kotak gear CVTi-S (i untuk pintar, S untuk shift) membuatkan pemandu dapat merasai pertukaran gear dengan lebih ketara sepert transmisi automatik hidraulik.
Bagaimana pun, ini adalah untuk pasaran AS. Rakyat Malaysia akan mendapat Corolla dengan rekaan, kemasan dan gred berbeza. Dijangka memasuki pasaran tempatan pada tahun depan, peminat Corolla pasti akan menghargai pembaharuan yang telah diterapkan kepadanya.