
DUCATI WELLY SUNGAI BULOH
Ducati Malaysia (Next Bike Sdn Bhd) baru-baru ini membuka pengedaran pertamanya di Sungai Buloh, hanya setahun selepas pembukaan Pusat Ducati paling besar di Asia di Petaling Jaya.
Pelancaran Ducati Welly Sungai Buloh sebagai pengedar rasmi Ducati menandakan bermulanya pelan Ducati Malaysia untuk terus membangunkan jenama ini ke seluruh negara.
Pada majlis yang sama, Ducati Malaysia turut memperkenalkan jentera edisi khas Multistrada 1200 ABS China Adventure.
Hadir sama di majlis itu ialah Pengarah Komersial Ducati Rantau Asia, Pierfranceso Scalzo; Timbalan Presiden NAZA Two Wheels Division, Nik Danial Nik Mahmood yang mewakili Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin; pemilik serta pengendali Ducati Welly Sungai Buloh, Ngo Yoke Kwang dan Presiden Ducati Club Malaysia, Nageb Abdul Majid.
“Sejak diberikan hak pengedaran Ducati di Malaysia, Next Bike telah mengalami proses pertumbuhan yang berterusan dan berjaya meningkatkan kesedaran mengenai jenama Ducati. Semakin kukuh di Malaysia, maka tidak hairalah jika jumlah pemilik dan peminat Ducati juga kian bertambah.
“Kepada para pelanggan, komitmen kami untuk mewujudkan rangkaian Pusat Ducati dan pengedar lebih besar kini berada di landasan yang betul. Kami merancang untuk membuka beberapa lagi bilik pameran untuk meluaskan jangkauan jenama Ducati di Malaysia.
“Ia juga membolehkan kami memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pemilik Ducati dan para pelanggan. Antara lokasi utama yang kami sedang perhatikan ialah Hartamas, Pulau Pinang, Kelantan, Johor dan Kuching,” kata Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Faisal.















