Buletin

TOYOTA COROLLA TREK, WAGON ALA CROSSOVER

Pasaran Eropah terkenal dengan dua jenis kenderaan iaitu hatchback dan wagon. Selari dengan populariti, banyak pengeluar fokus kepada dua segmen itu termasuk model baharu Toyota Corolla Hatchback dan Corolla Touring (wagon).

Model wagon digemari di Eropah kerana praktikaliti dan sesuai dengan gaya hidup aktif masyarakat di sana. Lebih unggul apabila pengguna di Eropah ditawarkan dengan wagon berprestasi seperti Audi RS6 Avant berkuasa 600 ps dan tork 800 Nm.

Untuk pengguna yang mahukan sebuah wagon bergaya, ini varian terbaru dari Toyota iaitu Corolla TREK, model Touring yang tampil dengan gayaan crossover. Konsep ini sama seperti Perodua Axia Style yang baru dilancarkan di negara kita.

Toyota Corolla TREK dikeluarkan sempena populariti model crossover dan rugged di dalam segmen C di Eropah. Toyota mensasarkan pelanggan yang mempunyai keluarga dengan gaya hidup outdoor. 

Supaya boleh dibawa ke tempat lasak, badan Corolla TREK dinaikkan sebanyak 20 mm yang berguna untuk melepasi halangan atau jalan berbatu dan berlopak.

Bahagian luar turut dilengkapkan dengan kit badan tambahan ala crossover seperti pelindung sisi, gril depan bercorak sarang lebah, roda aloi 17 inci, cermin belakang privasi, lampu kabus dan lampu utama LED.

Pada bahagian dalaman, Corolla TREK dilengkapi skrin TFT berwarna tujuh inci, kemasan dua tona, riasan papan pemuka corak kayu dan logo TREK pada ambang pintu dan pintu kargo belakang. 

Kelengkapan dalaman juga canggih dengan teknologi Toyota Safety Sense terkini.

Sistem itu terdiri daripada Sistem Keselamatan Pra-Pelanggaran dengan pengesan basikal dan pejalan kaki pada waktu siang dan malam, Kawalan Jelajah Adaprif dengan fungsi mula dan henti automatik, Pengecaman Papan Tanda Jalan Raya, Lampu Puncak Automatik Pintar dan Lane Trace Assist.

Dari segi enjin, pembeli ditawarkan dengan tiga jenis iaitu 1.2 turbo, 1.8 liter atau 2.0 liter hibrid.

Jika ada yang pernah mendengar jenama TREK, model ini sebenarnya adalah hasil kerjasama di antara Toyota dan pengeluar basikal Trek. Kedua-dua syarikat telah menjalin kerjasama dengan Toyota Corolla TREK akan digunakan sebagai kenderaan sokongan buat pasukan basikal tersebut.

Kepada pengguna tempatan, Corolla Touring tidak ditawarkan kecuali Corolla sedan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi pada harga permulaan sekitar RM129,000.

BACA: SELAMAT TINGGAL TOYOTA ESTIMA. (1990-2019)

BACA: TOYOTA ALTIS GEN-12 DILANCARKAN DI THAILAND. SUDAH SEDIA LAWAN CIVIC KETAM?

BACA: PADA 2008 TOYOTA ALPHARD DIPISAH 2, JADI VELLFIRE SAMPAI SEKARANG

Tags
Google ads
Back to top button