Buletin

TOYOTA COROLLA CROSS FACELIFT 2024 DILANCARKAN DI THAILAND, EMPAT VARIAN, HARGA BERMULA RM133K

Toyota secara rasmi melancarkan Corolla Cross facelift 2024 di Thailand, memperkenalkan beberapa penambahbaikan, bermula reka bentuk luaran kepada ciri dalaman yang disemak semula.

Untuk pasaran Thailand, empat varian ditawarkan iaitu satu versi enjin pembakaran dalaman (ICE) dan tiga varian hibrid.

Salah satu perubahan paling ketara ialah fascia hadapan yang direka bentuk semula, memberikan perbezaan berbanding rupa model sebelumnya.

Model facelift 2024 tidak menggunakan gril hadapan tradisional dan memilih gril lebih nipis dan digabungkan bersama paten honeycomb selain, bampar hadapan kini menampilkan beberapa tebuk kecil, memberikannya estetika tersendiri.

Lampu hadapan juga telah mengalami transformasi, menampilkan lampu LED yang sama – terdapat dalam varian Jepun, Australia dan Eropah.

Selain itu, Toyota juga memperkenalkan reka bentuk rim baharu untuk Corolla Cross 2024, bersaiz antara 16 hingga 18 inci.

Di bahagian belakang, bampar belakang menerima sentuhan baharu manakala varian GR Sport mengekalkan reka bentuk asalnya, sekaligus memberikan identiti tersendiri.

Menjengah ke ruang kabin, Toyota membuat penambahbaikan untuk meningkatkan keselesaan dan kemudahan antaranya sistem brek letak kereta elektronik dengan fungsi Auto Brake Hold serta kluster instrumen digital sepenuhnya baharu.

Untuk varian teratas, ia mendapat manfaat daripada paparan skrin sentuh 12.3-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar sementara, varian lain menerima skrin sesentuh 10.1-inci.

Secara mekanikal, Toyota Corolla Cross facelift bagaimanapun kekal dengan nadi 1.8 liter 2ZR-FBE menghasilkan 140hp dan 177Nm, serta enjin hibrid 1.8 liter 2ZR-FXE, menghamburkan kuasa 122 hp dan 142Nm.

Perincian harga adalah seperti berikut:

  • 1.8L Sport Plus: 999,000 THB (RM133,093)
  • HEV Premium: 1,094,000 THB (RM145,749)
  • HEV Premium Luxury: 1,204,000 THB (RM160,404)  
  • HEV GR Sport: 1,254,000 THB (RM167,065)
Google ads
Back to top button