Buletin

TOYOTA COROLLA SEDAN GR SPORT, RINGKAS BERGAYA

Jika pengguna di Amerika Syarikat ditawarkan Toyota Corolla Apex Edition, pengguna di Eropah pula ditawarkan Toyota Corolla Sedan GR SPORT. Ini adalah tawaran terbaru selepas Corolla Hatchback dan Touring Sports GR SPORT dilancarkan sebelum ini.

Elemen gayaan seperti kemasan luar dan dalam, roda aloi, kerusi kesemuanya dikongsi di antara ketiga-tiga model dan mengukuhkan lagi penampilan siri GR SPORT.

Penampilan segar dan sporti ini akan meningkatkan tarikan kepada pelanggan lebih muda.

Di antara perubahan yang dibuat ialah bahagian krom ditukar kepada warna hitam piano dan digunakan pada gril depan, cermin sisi, tiang tengah dan pendakap pintu dan menyerlahkan kedudukan kereta yang rendah.

Pada bahagian kedua-dua sisi bampar depan dipasang hiasan (garnish) berbentuk C supaya kereta nampak lebih lebar.

Tema hitam turut digunakan pada roda aloi dan diserikan kemasan bermesin pada bucu rongga dan penutup tengah dengan lingkaran merah yang merupakan identiti GR.

Roda aloi yang ditawarkan ada dua jenis iaitu sepuluh rongga 17 inci sebagai kelengkapan standard dan 18 inci sebagai pilihan pembelian.

Nampak menyerlah tetapi Corolla Sedan GR SPORT hadir tanpa kit badan. Selain komponen yang dinyatakan, Toyota hanya menambah spoiler but sama warna dengan kereta, hiasan di atas plet nombor dan logo GR SPORT.

Tiada skirt sisi, lips depan, peresap belakang dan spoiler tinggi, Corolla ini menarik seadanya.

Bahagian dalam pula dilengkapi pelapik bumbung hitam, stereng balutan kulit dengan tebukan (perforated) dan plet ambang pintu depan GR.

Kerusi sport dengan penyandar kepala bersepadu dibalut dengan kombinasi kulit sintetik kualiti tinggi dan kain hitam dan dihiasi skema corak putih dan merah menyamai warna Toyota GAZOO Racing. Warna sama turut diguna pada kerusi belakang.

Sebagai pilihan, pembeli boleh menambah sistem pencahayaan ambien pada bahagian dalam dan lampu luar LED.

Ada lapan warna ditawarkan termasuk Dynamic Grey sebagai warna signatur baharu GR SPORT. Tujuh daripada warna boleh dipadan bersama bumbung berwarna hitam.

Toyota Corolla Sedan GR Sport digerakkan oleh enjin (bergantung kepada pasaran) 1.8 liter hibrid dan 1.6 liter petrol. Pengeluaran dijadual pada November 2020 dengan penjualan bermula dari Januari 2021.

BACA: MAHAL KE KOS SERVIS TOYOTA HILUX?

BACA: TOYOTA COROLLA HB LIMITED EDITION USDM, LAWA TAK?

BACA: KHAS BUAT PEMILIK TOYOTA 2000GT, TOYOTA BUAT SEMULA ALAT GANTI TULEN!

Tags
Google ads
Back to top button