Motosikal

KTM: KAMI PERNAH BERBINCANG DENGAN DANI TETAPI BELIAU TIDAK BERMINAT

Pengarah KTM Motorsport, Pit Beirer mengesahkan yang mereka pernah berbincang dengan penunggang ujian mereka, Dani Pedrosa sama ada beliau berminat untuk menggantikan tempat Johann Zarco tetapi bekas juara dunia itu memberikan jawapan negatif.

Pedrosa merupakan watak penting dalam pembangunan jentera RC16 untuk musim akan datang dan mendapat pujian Pol Espargaro dalam pendekatan yang diambil beliau.

KTM terpaksa mencari pelumba baru selepas Zarco ingin menamatkan kontrak lebih awal daripada sepatutnya. Bos-bos KTM cuba mendapatkan khidmat Pedrosa tetati respon yang diterima tetap sama.

Malah ia bukan perkara baharu kerana sewaktu menandatangan kontrak sebagai pelumba ujian, Pedrosa turut ditanya tentang perkara yang sama dan beliau tetap memberikan jawapan yang sama: Tidak.

Pedrosa mempunyai alasannya yang tersendiri untuk berhenti berlumba dan beliau cuma berminat untuk menjadi pelumba ujian. Tawaran timbul kembali bila catatan masa sepusingan Pedrosa menjadi semakin baik akhir-akhir ini dan beliau kelihatan cukup kompetitif untuk berlumba.

KTM tidak mempunyai masalah walaupun Pedrosa menolak tawaran mereka kerana belliau merupakan watak yang penting dalam pembangunan jentera baru mereka. Tapi disebabkan beliau juga ahli keluarga KTM, mereka tetap bertanya tentang hal ini walaupun semestinya jawapan yang sama akan diberikan.

Bila ditanya adakah KTM sedia memberikan peluang yang sama kepada Pedrosa jika satu hari nanti beliau mengubah keputusan, Beirer menjawab ia adalah satu peluang yang sukar ditolak.

Tapi jauh disudut hati Beirer berharap ia tidak akan berlaku kerana mereka sangat memerlukan khidmat Pedrosa sebagai pelumba ujian. Malah beliau juga tidak mahu perkara sebegini merosakkan hubungan mereka.

KTM masih lagi belum memutuskan pelumba yang bakal menggantikan Zarco untuk musim depan dan buat masa sekarang nama-nama yang masih dan akan bersama mereka ialah Espargaro, Oliveira dan Brad Binder.

Fokus mereka kini ialah untuk membangunkan dan menaiktaraf jentera agar menjadi lebih kompetitif. Banyak kerja perlu dilakukan kerana selain daripada pelumba, motosikal itu sendiri perlu berada pada tahap yang lebih baik berbanding sekarang.   

Google ads
Back to top button