
BMW 330i M SPORT CKD – 258HP, RM288K SEUNIT
BMW Malaysia baru-baru ini memperkenalkan BMW 330i M Sport pemasangan tempatan.
Sebelum ini, BMW Malaysia ada menawarkan varian import dan 350 unit telah diserahkan dalam tempoh enam bulan.

Model CKD itu ditawarkan pada harga RM288,000 seunit. Anda boleh memilih daripada warna seperti putih, hitam, kelabu, biru dan oren. Bagi ruang kabin, pelanggan boleh memilih sama ada upholsteri kulit berwarna hitan atau coklat.
Jentera tersebut didatangkan dengan rim aloi ringan bersaiz 18 inci, angkup brek berwarna biru bersama logo M serta lampu hadapan LED adaptif dan teknologi Bi-LED.
BMW 330i M Sport dipasang dengan gril kidney lebih besar, lampu belakang tiga dimensi dipasang dalam bentuk L dan penggunaan kaca berkabus.

Spoiler belakang aerodinamik dan dua paip ekzos bersaiz 90 milimeter menyerlahkan lagi imejnya yang sporty.
Dijana oleh enjin petrol TwinPower Turbo berkapasiti 2.0 liter, BMW 330i M Sport mempunyai kuasa 258hp dan 400Nm tork untuk digunakan. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear Steptronic Sport 8-kelajuan.
Walaupun berupaya mencatat pecutan 0-100km/j dalam masa hanya 5.8 saat, penjimatan bahan api adalah sekitar 6.4L bagi setiap 100km.
Berat sedan itu telah dikurangkan sebanyak 25kg. Manakala pekali seretan ialah 0.23.

Ruang kabin dilengkapi BMW Intelligent Personal Assistant, kunci digital serta sistem keselamatan seperti Parking Assistant.
BMW Live Cockpit Professional pula menggabungkan paparan boleh suai dan berpandukan situasi pada kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci serta Paparan Kawalan (Control Display) bersaiz 10.25 inci dengan fungsi sentuh. Semua itu ditawarkan menerusi Sistem Operasi BMW 7.0.
BMW 330i M Sport sudah boleh dipandu uji di semua premis wakil pengedar BMW di seluruh negara.
- BACA: TOLAK BMW KE DALAM SUNGAI KERANA HENDAKKAN JAGUAR – AKHIRNYA MENYESAL
- BACA: AZLAN SHAH DAPAT TAJAAN RASMI BMW MOTORRAD!!!
- BACA: BMW X5 PROTECTION VR6 – INILAH KENDERAAN YANG SANGGUP BERKORBAN UNTUK PEMILIKNYA
- BACA: BMW M3 E46 DIJUAL PADA HARGA RM370,400 – MODEL KLASIK JERMAN DAH MULA NAIK HARGA?
GALERI


















