TOYOTA GAZOO RACING BAWA PERLUMBAAN VIOS CHALLENGE KE MALAYSIA
Arena perlumbaan kereta tempatan bakal dimeriahkan dengan kehadiran satu acara baru dikenali sebagai Vios Challenge.
Perlumbaan satu model (one make race) itu dianjurkan sempena Festival Perlumbaan TOYOTA GAZOO Racing (TGR). Vios Challenge bakal menyaksikan 30 pemandu bersaing menggunakan Toyota Vios yang telah ditala untuk perlumbaan secara saksama.
Perlumbaan tersebut akan diadakan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor. Saingan pertama akan dimulakan pada Ogos depan sehinggalah suku pertama tahun 2018.
Vios Challenge ialah perlumbaan sama yang sudahpun dijalankan di Thailand dan Filipina. Ia nyata mendapat sambutan hangat daripada peminat sukan bermotor di sana.
UMW Toyota turut mengumumkan barisan selebriti terkenal tempatan yang akan melakukan debut dalam perlumbaan itu. Mereka terdiri daripada Janna Nick, Fattah Amin, Shukri Yahaya, Diana Danielle, Shawn Lee, Venice Min, Geraldine Gan dan Danny Koo.
TGR bukanlah nama asing dalam dunia sukan bermotor. Ia berjaya mencatat kemenangan pertama dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) di Sweden dan terus konsisten mencatat mata.
“Karekter Vios yang sporty, menyeronokkan dan segar memang selari dengan kempen All About the Drive UMW Toyota Motor. Kami yakin Vios Challenge mampu menunjukkan karekteristik Vios dengan lebih berkesan terutama kepada pelanggan muda,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua penaja seperto Toyo Tyres, Denso Malaysia, TRD Japan, Enkei Malaysia, Moty’s Hyper Lubricant Technology, Drive M7 Energy Drik dan Toyota Capital Services.
Individu dan pasukan yang membeli jentera perlumbaan Vios Challenge akan menerima pakej merangkumi alat ganti berprestasi tinggi TRD, peralatan keselamatan, tayar serta pelbagai kelengkapan perlumbaan.
Aspek pengurusan dan modifikasi jentera diuruskan oleh pihak Wing Hin Motorsports di bawah seliaan TRD Japan. Garis panduan, pelumba dan pengurusan perlumbaan mematuhi peraturan ketat FIA serta dipantau oleh AAM.
Semua pelumba novis dan selebriti perlu lulus dalam satu sekolah perlumbaan yang akan dijalankan pada Mei depan.
Vios Challenge akan dianjurkan pada hujung minggu Festival Pelumbaan TGR bersama acara lain seperti hiburan, permainan, makanan dan pelbagai aktiviti menarik.
BACA: TOYOTA YARIS GRMN GUNA ENJIN SUPERCHARGED 1.8L BERKUASA 205hp