
TOYOTA GT86 SHOOTING BRAKE, KONSEP YANG TAK MENJADI REALITI
Toyota GT86 bukan sekadar kereta dua pintu coupe biasa, ia adalah simbolik kepada kemahuan Toyota dalam menghasilkan kereta untuk peminat.
Kereta begini jarang yang membawa keuntungan dan Toyota tetap menghasilkan sebagai ingatan bahawa mereka terkenal dengan warisan ini satu ketika dahulu.
Pengeluaran GT86 juga menimbulkan rasa hormat kepada Toyota bahawa syarikat ini asyik dalam membina kereta yang laku keras sahaja.
Toyota juga gemar bermain dengan kereta konsep dan banyak yang menemui pengguna dalam bentuk realiti.
Kereta konsep Toyota juga biasanya mirip dengan model produksi seterusnya memberi bayangan kepada bakal pelanggan.
Pada Mei 2016, Toyota pernah tampil dengan kereta konsep yang begitu menarik iaitu Toyota GT86 Shooting Brake.
Unit prototaip ini diilhamkan dan dibangunkan oleh pasukan pereka produk Toyota Australia dan dibina dengan tangan di Jepun di bawah seliaan jabatan kereta sport global Toyota.
GT86 Shooting Brake menggunakan gayaan badan ala hatchback dan dipertontonkan di Sydney oleh Ketua Jurutera Global GT86, Tetsuya Tada.
Menurut Brad Cramb, Pengurus Pemasaran Kebangsaan Toyota Australia, gaya badan tersebut dibuat untuk lebih ruang kepala dan bagasi.
Model itu juga untuk pasangan dengan gaya hidup aktif atau kereta kedua untuk keluarga yang mahukan sesuatu berbeza serta sesuai digunakan untuk hujung minggu dan juga di litar lumba.
Projek ini memperolehi sokongan daripada Tetsuya Tada selepas beliau ditunjukkan model skala tanah liat semasa lawatan ke Australia pada November 2014.
Menurut Ketua Pereka Toyota Australia, Nicolas Hogios, beliau dan pasukan pereka berdebat hangat tentang projek ini dan akhirnya bersetuju untuk mengubah bumbung dan bahagian belakang GT86.
Projek ini tidak tamat di atas kertas lukisan sahaja kerana prototaip yang dibina benar-benar berfungsi dan telah diuji di litar Toyota.
Tetsuya Tada juga memaklumkan Toyota mahu menilai respon orang ramai terhadap konsep ini.
Toyota GT86 Shooting Brake lebih kepada kajian dalaman dan Toyota tidak mempunyai perancangan untuk mengeluarkannya.