Artikel Pilihan

TOYOTA GT86 & INI BELANJA UNTUK MEMILIKINYA…

Semenjak kemunculan kereta model AE86 atau lebih dikenali sebagai Hachi-Roku didalam siri Anime Initial D, kenderaan ini mendapat publisiti meluas diseantero dunia. Tidak kira di benua mana pun, model ini menjadi rebutan ramai sehinggalah tiada harga tetap yang boleh diletakkan.

Harga-harga yang berlegar-legar di serata dunia sekarang adalah disebabkan faktor “willing buyer willing seller”. Ada yang beli mahal, ada yang beli murah. Cuma sekarang ini, tiada apa yang murah.

Model AE86 ini dahulunya dikenali dengan faktor ringan, harga yang berpatutan, enjin yang lasak, nisbah berat depan dan belakang hampir 50:50, LSD, tarik belakang, dan yang paling penting senang dimodifikasi.

Nampak tak?, tak perlu sistem elektronik yang berserabut dan terlalu canggih untuk membuat sebuah kenderaan lagenda.

AE86 lahir pada tahun 1984. Sudah 35 tahun. Namun, selepas 28 tahun dari tarikh kelahiran AE86, pada tahun 2012 lahirlah sebuah entiti dari Toyota yang dikenali sebagai Toyota 86.

Kenderaan ini dihasilkan dari kerjasama Subaru dan Toyota. Selain dari Toyota 86, ia juga dikenali sebagai GT86, FT86, Scion FR-S dan Subaru BRZ di sesetengah pasaran.

Kenderaan ini direka oleh Tetsuya Tada. Orang yang sama bertanggungjawab dalam penghasilan Toyota Supra yang baru.

Spesifikasi bagi setiap pasaran tidak jauh berbeza. Enjin yang sama, transmisi yang sama, talaan suspensi yang sama. Cuma perbezaan pada bahagian luaran sedikit dan kemasan dalaman.

ENJIN

Kita pergi kepada binaan enjin. Enjin bagi kereta ini dikenali dengan kod 4U-GSE bagi Toyota dan FA20 bagi Subaru. Nama berbeza, jasadnya tetap sama iaitu enjin Boxer 4 silinder bersesaran 1,998cc.

Enjin ini mempunyai nilai Bore x Stroke yang sama iaitu 86mm x 86mm. “Perfect Square” kata omputeh. Nisbah mampatan juga agak tinggi iaitu 12:5:1. Jadi, dinasihatkan pakai petrol premium seperti RON97.

Sistem bahan api diambil dari sistem Toyota D-4S dimana menggunakan kedua-dua sistem “Gasoline Direct Injection” dan “Multipoint Fuel Injection”.

Hasilnya ? 197hp pada 7,000rpm dan Torque sebanyak 205Nm pada 6,400rpm. Enjin ini kemudiannya dimuatkan serendah-rendah mungkin bagi mencapai nisbah berat yang ideal. Hasilnya ? 53% depan dan 47% berat pada belakang. Hampir seimbang !

TRANSMISI

Bagi sistem transmisi pula, terdapat 2 pilihan iaitu 6-kelajuan manual dan 6-kelajuan automatik. Sistem transmisi manual kenderaan ini dibina sendiri oleh pihak Toyota dengan kod TL70 diinspirasikan dari model Aisin AI’s AZ6.

Bagi sistem transmisi automatik pula, kenderaan ini menerima unit Aisin-Warner A960E. Ia berfungsi secara tradisional dengan menggunakan unit Torque Converter tetapi sudah ditala bagi memberikan “feel” seperti model “Dual Clutch”. Haa, korang ingat Aisin buat minyak hitam je ke ? Haha ! Axle belakang LSD merupakan ciri asas bagi kebanyakan model.

Sistem suspensi kenderaan ini menggunakan “MacPherson Strut” bagi hadapan dan “Double Wishbone” bagi belakang. Memang sempurna dan sedap bohh layan korner.

Oh ya, Bore x Stroke = 86mm x 86mm. Diameter ekzos juga sebesar 86mm. Jadi bukan saje-saje diorang ni letak mana 86 pada kenderaan ini. Memang Hachiroku ! Kelajuan tertinggi bagi kenderaan ini adalah 233km/h. 0-100km/h pula adalah 7.6s.

Pada tahun 2016, kenderaan ini menerima talaan baru dimana kuasanya meningkat kepada 205hp dan Torque sebanyak 212Nm.

Okay ! Dengan kuasa yang ada pada kenderaan ini, ramai yang mengkritik pada mulanya. Tapi sebenarnya, kereta ini dicipta sebagai platform kepada kaki-kaki modifikasi tak kira yang biashe-biashe ataupun ekstrem.

Cuba lihat sekarang, enjin apa je yang tak masuk dalam ruang enjin 86 ni ? Contohnya, Ryan Tuerck yang meletakkan enjin Ferrari 458 4.5liter V8 yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 570hp. Hampir 3 kali ganda kekuatan enjin asal kereta ini.

Jika anda rasa itu terlalu ekstrem, jangan risau. Bersepah-sepah, berlonggok-longgok turbo dan supercharger kit untuk enjin ini dipasaran. Pilih je, nak barang JDM ke USDM. Plug & play pulak tu. Anda senang, pomen pun senang.

Kuasa pun senang-senang je nak sampai lebih 300hp. Kecik ? Haha, 300hp untuk kereta yang beratnya lebih kurang 1.2 tan dah cukup laju sebenarnya. Berani tak berani je nak tekan.

Senang cerita, pihak Toyota + Subaru membina sebuah kereta yang memang untuk dibina semula oleh pelanggan. Ye lah, takkan nak jual kereta takde enjin kan ?

Cuma sebenarnya FA20/4U-GSE yang berkuasa sebanyak 200hp ni dah cukup dah untuk pemanduan harian. Tapi manusia yang tak pernah puas. Haha !

Selain dari model ini, Mazda Miata MX5 pun dicipta untuk tujuan yang sama. Cuma untuk itu kita sembang di lain artikel.

Sekarang kita sembang pula pasal penjagaan ye. Baiklah, kita mulakan.

🛠SERVIS

🔧Engine Oil Service Package
Kapasiti minyak engine bagi kenderaan ini berjumlah 5.4 Liter. Kelikatan yang disarankan pula adalah 0W-20 Fully Synthetic. Kosnya adalah dalam lingkungan RM600. Kalau nak pakai minyak murah terpulang pada pemilik. Haha !

🔧Transmission Service Package
Sistem Transmisi Automatik kenderaan ini menggunakan sistem konvensional. Jadi, tukar minyak sahaja dalam lingkungan 7.5 Liter. Kosnya dalam lingkungan RM500-RM800. Sela masa bagi penukaran ATF mengikut manual adalah setiap 60,000 batu. Tapi lagi awal lagi bagus. Kereta anda, bukan orang lain.

Bagi Transmisi Manual, kadar minyak gear yang diperlukan adalah sebanyak 2.2 Liter. Kelikatan minyak yang disarankan adalah 75W-90. Jika tukar minyak gear, tukar sekali minyak Rear Differential. Kelikatan minyak yang disarankan adalah sama iaitu 75W-90. Kapasitinya pula adalah sebanyak 1.2 Liter. Kos dalam lingkungan RM600-RM700 bagi kedua-dua kerja.

🛠COMMON WEAR & TEAR PARTS

🔧Front Brake Pad
Disebabkan kenderaan ini agak popular diserata dunia, banyak jenama-jenama luar mengeluarkan Brake Pad untuk kenderaan ini. Apa pun, pilihlah yang baik-baik. Kosnya dalam lingkungan RM400-RM600 bergantung kepada jenama.

🔧Rear Brake Pad
Sama juga, banyak pilihan jenama. Harganya dalam lingkungan RM180-RM400

🔧Brake Disc/Rotor
Penting ni, jangan buat main. Bila dah nipis cepat-cepat tukar. Jangan memperjudikan nasib anda dan pengguna jalanraya yang lain dengan masalah brek anda. Kos untuk menukar keempat-empat rotor adalah dalam lingkungan RM800-RM1,000.

🔧Big Brake Kit (Pilihan)
Pihak Subaru ada mengeluarkan Brembo Big Brake Kit untuk model BRZ. Dan semestinya ia boleh dipasang pada model-model kembarnya yang lain. Kit termasuk 4 Pot depan dan 2 Pot belakang, Rotor, Parking Brake dan Brake Hose. Harga ? Dalam lingkungan RM7,500-RM10,000. Kira berpatutan lah ni. Brembo tu. Haha.

🔧Air Filter
Kebiasaannya dalam 20,000km mesti dah kotor. Tukar je lah. Bukan mahal mana pun. Dalam lingkungan RM20-RM50 je. Kalau jenis open pod tu mahal lah sikit.

🔧Aircond Filter
Kalau dah ada bau bauan kurang menyenangkan ketika anda memandu, cuba periksa keadaan Aircond Filter anda. Kalau dah kotor sila tukar. Untuk keselesaan anda juga. Harganya dalam lingkungan RM80-RM200.

🔧Clutch
Masalah ini cuma terpakai pada model transmisi manual sahaja. Sampai masa, klac akan habis juga. Jadi, bersiap sedialah dari segi kewangan. Kosnya adalah dalam lingkungan RM1,800-RM2,500. Ni yang standard pekak lah. Kalau nak yang branded, berloceng dan sebagainya semestinya harganya lagi mahal. Contohnya Exedy Twin Disc Clutch Kit harganya barang sahaja RM11,000. Tapi sekarang tengah offer, RM9,000 JE ! Haha !

🔧Tayar
Saiznya adalah 215/45R17. Harga cari sendiri. Berlonggok-longgok kedai tayar di sekeliling kita. Cuma satu je, jangan pakai tayar toreh.

🔧Absorber
Sistem suspensi kenderaan ini menggunakan sistem dari jenis MacPherson Strut bagi hadapan dan Double Wishbone bagi belakang. Patutlah mantap dia punya handling. Cuma semua itu sia sia jika komponen utamanya iaitu penyerap hentak (absorber) rosak. Kosnya menelan belanja sebanyak RM2,800-RM3,500 bagi keempat-empat unit. Ini yang standard lah. Kalau korang nak pakai adjustable, lagi mahal lah jawabnya.

🔧Belt & Tensioner
Belt ini menghubungkan kuasa dari enjin untuk memacu unit compressor dan alternator. Tensioner pula berfungsi untuk memastikan belt tersebut tegang. Kos untuk menukar belt dan tensioner ini dalam lingkungan RM700-RM900

🔧Spark Plug
Enjin ini mempunyai enjin 4 silinder, jadi hanya 4 biji spark plug yang diperlukan. Kos adalah dalam lingkungan RM400-600. Ingat tak leceh ke tukar Spark Plug enjin boxer ? Leceh beb.

🔧Ignition Coil
Coil bagi enjin ni boleh tahan harganya. Dalam lingkungan RM500 seunit. Kalau enjin jalan 3 silinder tu cuba check antara Spark Plug atau Coil dulu.

🔧Engine & Gearbox Mounting
Kalau dah rasa gegar lain macam je ketika berhenti di lampu isyarat, kemungkinan besar Engine Mount & Transmission Mount sudah rosak. Jika rosak, kerugian dianggarkan sebanyak RM1,800-RM2,000.

🔧Waterpump
Kenderaan ini menggunakan Waterpump jenis mekanikal dan dipacu oleh unit Belt. Kebiasaannya bocor lah di bahagian ini. Kos untuk menukarnya adalah dalam lingkungan RM700-RM900.

🔧Aircond Compressor
Kita kena faham yang Aircond Compressor merupakan benda bergerak (Moving Item). Apabila bergerak, ia mempunyai jangka hayat. Lagi lah di Malaysia ini Aircond memang satu keperluan. Jika komponen ini rosak harganya adalah dalam lingkungan RM3,000-RM4,000. Sekarang susah nak jumpa Compressor yang murah. Haha.

🔧Alternator
Jarang rosak, tapi boleh rosak. Kalau rosak ? Kosnya adalah dalam lingkungan RM1,800-RM3,000

🔧Starter Motor
Ini juga merupakan kes terpencil. Tapi tidak salah untuk kita ambil tahu. Kos bagi seunit Starter Motor adalah dalam lingkungan RM1,800-RM2,500

Pada hemat saya, tidaklah terlalu mahal sebenarnya untuk menjaga kenderaan ini. Masih berpatutan. Cuma anggaran harga yang saya nyatakan terpakai bagi kenderaan “stock”. Jika modifikasi telah dilakukan, semestinya kos penjagaan juga berbeza.

Kenderaan ini juga merupakan sebuah kenderaan yang bagus. Kredit patut diberikan kepada pihak Toyota dan Subaru atas penghasilan model ini.

Mungkin ada yang berpendapat model ini gagal, tapi tidak bagi saya. Pandang pada sudut positif. Kenderaan ini tidak pernah gagal mencuri tumpuan jika ada mana-mana “Autoshow” di dalam dan luar negara.

Selain itu, ia juga membuka mata pengguna bahawa keseronokan memandu itu bukanlah hanya pada kuasa yang dapat dihamburkan oleh enjin sahaja. Pengendalian juga amat penting, maaf, paling penting bagi saya. Tak guna kereta laju tapi handling kelaut.

Dengan tag harga melebihi RM200,000 bagi unit baru, hanya yang benar-benar mencari apa itu kepuasan memandu akan membeli kereta ini.

Jadi, ini adalah sedikit sebanyak perkara yang saya boleh kongsikan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Nasihat saya, sebelum membeli kenderaan terpakai, buatlah dulu Pre-Purchase Inspection tak kira apa jenis kenderaan pun.

Ini untuk mengelakkan tuan-tuan melaburkan lebih banyak duit kepada perkara yang tidak perlu di kemudian hari. Jika wear & tear parts yang dinyatakan diatas masih elok, tidak perlulah ditukar dahulu.

Harga yang diberikan adalah “average”. Jangan melenting jika dikenakan harga yang mahal di bengkel berdekatan anda kerana harga adalah berbeza bagi setiap kawasan. Tapi jika terlalu mahal dikenakan kepada anda, rajin rajin lah buat research ya.

Semoga kita semua mendapat manfaat.

Google ads
Back to top button