Artikel Pilihan

TOYOTA HILUX DENGAN PERLINDUNGAN INKAS, KALIS PELURU & BOM TANGAN

Sebelum ini kami telah mengulas penggunaan Toyota Hilux yang dipasang dengan senjata berat dan digunakan dalam perang saudara di benua Afrika dan juga Timur Tengah. Menyedari potensi yang ada pada Toyota Hilux, sebuah syarikat yang berpangkalan di Kanada telah memasarkan pakej renovasi bagi menjadikan Toyota Hilux terbaru kalis peluru dan bom tangan.

Syarikat tersebut INKAS Inc yang telah ditubuhkan pada tahun 2000 dan fokus utama aktiviti perniagaan INKAS ialah menghasilkan kenderaan dengan keselamatan tinggi. Selain daripada Toyota Hilux, INKAS juga boleh menghasilkan perlindungan senjata api bagi kenderaan Chevrolet, GMC, Ford, limosin dan juga kenderaan yang ditugaskan untuk membawa wang tunai.

Sebagai contoh Toyota Hilux ini telah direka sebagai kereta perisai dengan keperluan kos yang dikehendaki oleh pelanggan. Ia boleh digunakan sebagai kenderaan untuk membawa barang berharga, atau memasuki kawasan berisiko tinggi seperti zon perang atau membawa anggota unit keselamatan seramai 5 orang untuk atur gerak pantas.

Toyota Hilux ini dilengkapi dengan perisai sehingga tahap BR6, bermakna ia boleh menahan peluru sehingga diameter 7.62mm yang biasa ditembak dari mesingan dan juga gred DM51 iaitu perlindungan letupan dari bom tangan. Kabin Toyota Hilux ini telah dilindungi spenuhnya termasuklah dengan pemasangan cermin kaca kalis peluru dengan beberapa lapisan perlindungan.

Pakej yang ditawarkan oleh INKAS termasuklah menguatkan engsel pintu, pemasangan tayar gerak kempis (run flat tyre), perlindungan bateri dan sistem elektronik, sistem kunci elektronik pintar untuk simpanan wang tunai dan juga mengukuhkan sistem suspensi kenderaan.

Beberapa aksesori lain turut ditawarkan seperti sistem kawalan kebakaran, sistem brek tahan lasak, rim yang diperkukuhkan, siren, pakej perlindungan senjata api tambahan dan juga lampu amaran sekiranya Hilux ini digunakan sebagai pengiring rasmi

Google ads
Back to top button