Buletin

HINA GURU, POLIS KELUARKAN 5 SAMAN TRAFIK KEPADA PELAJAR, PEMILIK MOTOSIKAL

Polis Kelantan mengeluarkan lima saman trafik terhadap pemilik motosikal serta dua pelajar yang membonceng motosikal dan menconteng belakang baju sekolah dengan perkataan kesat terhadap guru.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung tindakan pelajar berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Beliau berkata, polis juga sudah mengambil keterangan daripada kedua-dua pelajar terbabit. Kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

“Saya menasihatkan kepada pelajar sekolah supaya menjaga kelakuan dan jangan menunjukkan sikap biadap. Generasi muda pada hari ini tidak sepatutnya menunjukkan perbuatan sedemikian. Pada masa sama, ini ialah satu ingatan kepada ibu bapa supaya memainkan peranan memastikan kelakuan anak-anak sama ada berada di sekolah atau luar rumah.

“Selain itu, tanamkan juga semangat cintakan guru sebagaimana kita menyayangi seseorang dan saya meminta remaja di luar sana supaya belajar daripada kesilapan orang lain,” katanya pada media selepas pemantauan kehadiran pelajar semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 2, Kota Bharu.

Terdahulu, tular di media sosial menyaksikan tiga individu yang menunggang membabitkan dua motosikal dan pelajar lelaki dipercayai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru selesai menduduki peperiksaan memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru dengan seorang daripadanya tidak memakai topi keledar. – Berita Harian

Google ads
Back to top button