Buletin

TOYOTA KLUGER DENGAN ENJIN 2.4L TURBO, TIADA LAGI 3.5L V6 DI AUSTRALIA!

Toyota akan menawarkan kepada pelanggan di Australia SUV Kluger dengan enjin 2.4L turbo Dynamic Force (T24A-FTS) pada suku pertama 2023. 

Penawaran itu adalah selari dengan beberapa pasaran lain seperti di Amerika Syarikat dan Eropah Timur yang menggugurkan enjin besar 3.5L V6 2GR-FKS.

Satu lagi pilihan untuk pengguna Australia ialah enjin hibrid 2.5L A25A-FSX berkuasa 247 hp dan tork 242Nm.

Enjin T24A-FTS masih lagi baharu dan pertama kali dikeluarkan pada tahun 2021 dan dipasangkan pada Lexus N350 dan RX350 dan juga kembar Kluger iaitu Highlander.

Lagi ciri-ciri enjin 2.4L ialah pengecas turbo baharu, sistem pancitan bahan bakar yang dioptimumkan dan lejang panjang untuk memberikan respon yang bagus dan output tinggi.

Kuasa yang dihamburkan sekitar 265.5 hp dan tork 420Nm. Sebagai perbandingan, enjin 3.5L V6 berkuasa 292 hp dan tork 350Nm.

Dari sini boleh dilihat enjin 2.4L mempunyai daya kilas lebih tinggi.

Enjin 2.4L boleh dipadankan bersama pacuan dua roda atau empat roda dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Enjin itu juga ditawarkan untuk pengguna yang memilih Kluger varian GX, GXL dan Grande.

Bersama enjin baharu, Toyota menawarkan kelengkapan seperti Toyota Connected Services dengan fungsi seperti makluman pelanggaran automatik, panggilan SOS dan pengesan kenderaan yang dicuri.

Turut dipertingkatkan ialah paparan pelbagai maklumat berwarna saiz tujuh inci yang menggantikan paparan 4.2 inci pada Kluger GX.

Kluger GXL dan ke atas pula dipasangkan skrin sentuh 12.3 inci berbanding paparan multimedia lapan inci sebelum ini.

Toyota Highlander Eropah

Dari segi kapasiti, Kluger boleh memuatkan sehingga tujuh penumpang dengan tiga baris tempat duduk.

Saiznya pula berukuran 4966 mm panjang, 1930 mm lebar dan tinggi 1755 mm.

Dengan pakej enjin 2.4L dan tujuh penumpang, Toyota Kluger nampak sesuai jika dibawa masuk ke pasaran tempatan.

Google ads
Back to top button