
TOYOTA LABUR RM1.64 BILION BANGUNKAN ENJIN EMPAT SILINDER BARU
Tatkala banyak pengeluar sudah pun menumpukan perhatian pada EV, Toyota percaya masih wujud lagi ruang bagi enjin pembakaran dalaman di luar sana.
Untuk itu, Toyota baru-baru ini mengumumkan pelaburan berjumlah $383 juta (RM1.64 bilion) untuk memulakan produksi enjin baharu di Amerika Syarikat.
Pecahan terbesar pelaburan tersebut dikhususkan untuk kilang Toyota di Huntsville, di mana $222 juta diperuntukkan untuk proses pembesaran fasiliti kepada 114,00 kaki persegi, serta membina barisan pemasangan enjin empat silinder serba baharu yang akan digunakan untuk model ICE tulen dan model hibrid.

Kilang Toyota di Troy, Missouri pula akan mendapat pelaburan sebanyak $109 juta untuk menambah kelengkapan bagi membina kepala enjin empat silinder sebaris tersebut, diikuti $36 juta untuk kilang Jackson, Tennessee untuk pembinaan blok enjin, serta $16 juta untuk fasiliti di Georgetown, Kentucky untuk mengembangkan lagi barisan produksi enjin empat silinder.
Sebelum ini, Toyota mengumumkan pelaburan bernilai $3.4 bilion (RM14.56 bilion) untuk membangunkan kilang bateri yang akan memulakan produksi pada tahun 2025, selain mewujudkan 1,750 peluang pekerjaan di Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, Toyota juga merancang untuk membina kereta hibrid dengan teknologi bateri keadaan pejal (solid-state battery) menjelang tahun yang sama di mana ia mampu menawarkan produk kenderaan yang jauh lebih mampu milik. – Motor1