Pandu Uji

Toyota Prius c TRD Sportivo

Disasarkan untuk mereka yang mahukan penampilan Prius c lebih sporty. 

Sejak dilancarkan pada Februari 2012, model hibrid kompak Toyota Prius c nyata mendapat sambutan yang menggalakkan. Buktinya, lebih 4,000 unit telah dijual dan permintaan terhadapnya terus meningkat. Ini kerana Prius c merupakan antara model hibrid paling mampu milik yang ada di pasaran tempatan. 

Mahu menjangkau kelompok pelanggan lebih luas, pengedar rasmi kenderaan Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota) baru-baru ini melancarkan varian lebih sporty dikenali sebagai Prius c TRD Sportivo. 

Sedia maklum bahawa TRD bermaksud Toyota Racing Development, divisyen prestasi tinggi dalam Toyota Motor Corporation. TRD bertanggungjawab membangunkan aksesori berkualiti tinggi untuk model-model keluaran Toyota. Semua aksesori itu menepati standard kualiti dan keselamatan Toyota. 

Berikutan populariti yang kian meningkat, perhatian turut diberikan kepada model-model hibrid Toyota. Justeru, satu varian eksklusif TRD Sportivo untuk Prius c telah dibangunkan. Selari dengan latar belakang TRD, varian tersebut diberi imej hibrid yang sporty menerusi pakej TRD Sportivo Aerokit. 

TRD Sportivo Aerokit terdiri daripada bampar hadapan yang diintegrasikan dengan Daytime Running Lights (DRL). Bampar itu juga mempunyai kemasan berwarna hitam untuk menyerlahkan lagi imej sporty. 

Bahagian sisi kemas dengan skirting yang membuatkan kereta itu nampak lebih rendah. Bahagian belakang pula dipasang dengan spoiler dan lampu di dalam perumah berwarna jernih. Akhir sekali, model itu ditampal dengan emblem TRD Sportivo untuk membezakannya dengan Prius c standard. 

Ruang kabin model itu tidak ada bezanya dengan Prius c. Cuma ia kini dilengkapi pelapik lantai dengan jahitan TRD Sportivo berwarna biru, sama seperti warna tema hibrid Toyota. Semua aksesori TRD Sportivo itu bagaimanapu tidak dijual secara berasingan.   

Tiada perubahan pada aspek mekanikal. Jentera itu tetap dikuasakan oleh sistem Toyota Hybrid Synergy Drive yang terdiri daripada enjin petrol bersesaran 1.5 liter, motor elektrik dan Electronically Controlled Continuously Variable Transmission (E-CVT). 

Mazda CX30

Untuk semua varian Prius c, UMW Toyota kini menawarkan proses naik taraf sistem audio yang meliputi unit fascia double DIN dengan sambungan Bluetooth, AUX-Jack serta USB. 

Bukan itu sahaja, semua varian Prius c 21013 juga didatangkan dengan penyangkut beg yang diletak pada bahagian perehat kepala penumpang hadapan. Penyangkut  itu boleh disimpan jika tidak digunakan. 

Tambahan kepada penyangkut beg tersebut ialah bekas kargo pada bonet belakang. Bekas itu diperbuat daripada plastik tahan lasak. Berfungsi melindungi karpet bonet, material alis air itu membolehkan barangan basah disimpan dan dibersihkan dengan mudah.

Prius c TRD Sportivo hanya ditawarkan dalam empat warna iaitu putih, hitam, perak dan merah. Ia ditawarkan pada harga RM 103,990 seunit (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi di Semenanjung Malaysia). Harga Prius c standard ialah RM97,300 sebuah. 

Sama seperti kenderaan Toyota yang lain, model itu hadir dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sehingga 100,000km (yang mana tiba dahulu).

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button