Buletin

TOYOTA PRIUS PHEV UNTUK JEPUN, ALTERNATIF SEBELUM KERETA ELEKTRIK!

Semakin banyak kereta elektrik ditawarkan pada hari ini selain jumlah stesen pengecasan yang bertambah namun bukan semua pengguna sedia untuk beralih kepada kereta elektrik.

Jawapannya terletak pada kereta hibrid plug-in (PHEV) yang menggunakan dua sistem iaitu enjin pembakaran dalaman atau mod elektrik yang dikuasakan bateri.

Satu daripada contoh ialah Toyota Prius PHEV yang baru sahaja diperkenalkan di Jepun.

Pemilik boleh memandu seperti biasa menggunakan enjin petrol dan sekiranya kuasa bateri mencukupi, kereta boleh digerakkan dengan tenaga elektrik.

Prius PHEV menggunakan sistem hibrid Toyota generasi kelima dan enjin 2.0 liter M20A-FXS. Kuasa yang dihasilkan 164 kW (223 ps) atau hampir sekali ganda model sebelum ini.

Pecutan 0 hingga 100 km/j juga hebat dan hanya memerlukan 6.7 saat. Penggunaan bahan api pula pada kadar 26 km/l (roda 19 inci) dan 30.1 km/l (roda 17 inci).

Keistimewaan Prius PHEV terletak pada mod pemanduan elektrik dengan jarak 87 km (roda 19 inci) dan 105 km (roda 17 inci) atau 75 peratus lebih baik berbanding model sebelumnya.

Semestinya jarak tersebut bergantung kepada keadaan tertentu namun jelas kelihatan faedah yang ada pada Prius PHEV. 

Turut istimewa ialah fungsi Regeneration Boost yang membantu semasa pemanduan berbukit atau situasi yang memerlukan pecutan dan pembrekan ditukar secara kerap.

Fungsi itu akan mengaktifkan daya pembrekan regeneratif lebih kuat berbanding biasa untuk prestasi pemanduan yang responsif dan mengurangkan penukaran pedal pemecut dan brek.

Satu ciri praktikal pada Prius PHEV ialah pembekalan tenaga bateri (BEV) yang menggunakan tenaga elektrik yang disimpan pada bateri untuk menguasakan perkakasan elektrik semasa aktiviti luar seperti berkhemah dan sebagainya.

Satu lagi fungsi ialah mod pembekalan HEV yang bertindak sebagai pembekal kuasa semasa elektrik terputus, bencana alam dan kecemasan.

Di dalam mod itu, apabila tenaga elektrik daripada bateri menyusut ke paras yang ditetapkan, enjin akan mengambil alih dan menyambung bekalan elektrik kepada peranti luar.

Dengan tenaga bateri penuh dan setangki petrol, sistem itu berupaya untuk membekalkan tenaga elektrik sehingga lima hari! (berdasakan penggunaan 10 kWj setiap hari).

Sebagai pilihan, pembeli ditawarkan sistem pengecasan solar generasi kedua dan berupaya membekalkan tenaga sehingga 1,250 km setahun dalam mod BEV.

Melalui panel solar pada bumbung Prius, bateri boleh dicas semasa parkir atau ketika bekalan elektrik terputus asalkan terdapat cahaya matahari.

Sistem itu turut membekalkan tenaga kepada penyaman udara dan beberapa fungsi lagi termasuk pembekalan kepada sistem bateri tambahan semasa memandu bagi mengurangkan penggunaan bateri.

Semasa mengecas, pemandu tidak semestinya menghidupkan enjin untuk menggunakan penyaman udara.

Melalui My Room Mode, pemandu dan penumpang boleh berada di dalam kereta sambil menikmati penyaman udara dan sistem audio berbekalkan tenaga dari punca kuasa luar semasa mengecas.

Canggih bukan? Di Jepun, Toyota Prius PHEV Z dijual pada harga 4,600,000 yen (RM151,614.82)

BACA: SAMBUTAN HANGAT, TOYOTA SAMBUNG GR COROLLA CIRCUIT EDITION UNTUK AS!

BACA: TOYOTA GR SUPRA TRANSMISI MANUAL DAH SAMPAI. 382HP, 0-100KM/J 4.4 SAAT, BERMULA RM645K

BACA: TOYOTA HILUX GR SPORT 2023. PADDLE SHIFTER, LAGI PADU DARIPADA ROUGE, RM160K SAHAJA

BACA: BELI TOYOTA GRAND HIGHLANDER, PERCUMA NINTENDO SWITCH DI AS!

Google ads
Back to top button