,
Buletin

TOYOTA RAV4 2020. 2 VARIAN, ENJIN DYNAMIC FORCE. BERMULA RM196K

UMW Toyota Motor (UMWT) kini menambah satu lagi model import ke dalam barisan penawaran sedia ada dengan pengenalan Toyota RAV4 generasi kelima hari ini.

RAV4 merupakan sebuah Sport Utility Vehicle (SUV) jenis baru ketika ia mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 1990an. Ia menawarkan praktikaliti dan memiliki aspek pengendalian dan keselesaan seperti sebuah kereta penumpang.

Maka tidak hairanlah jika ia menempa kejayaan dan mencipta kategori baru dalam pasaran automotif.

RAV4 diperkenalkan oleh UMW Toyota Motor dalam satu majlis pelancaran maya. Pertama kali dilakukan, model berkenaan dirasmikan oleh Presiden UMWT, Ravindran K.

Majlis kemudian diikuti oleh sesi penstriman atas talian yang menjelaskan perincian SUV berkenaan, sebelum diteruskan dengan satu wawancara eksklusif bersama Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran UMWT, Akio Takeyama.

“Toyota RAV4 telah menjadi penawaran wajib bagi barisan kenderaan CBU kami sejak pertengahan 1990an ketika kami mula menjual model generasi keduanya. Kini, kami bawakan pula generasi kelima SUV ini yang telah dipilih sebagai pemenang bagi Japan Car of the Year 2019-2020.

“Seperti sebelum ini, pelanggan akan menikmati pengalaman pemilikan yang menyenangkan, bukan hanya dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, malah sokongan selepas jualan di seluruh negara,” jelas Ravindran K.

Dua varian

Terdapat dua varian ditawarkan. RAV4 2.5L dijual pada harga RM215,665 manakala RAV4 2.0L pula dengan harga bermula RM196,436 (tidak termasuk insurans). Kedua-dua varian diberi enam pilihan warna iaitu biru gelap, kelabu metalik, putih Mutiara, merah, hitam dan perak.

SUV itu tampil dengan reka bentuk luaran serba baru yang moden. Penampilannya nampak tegap menerusi garis-garis tajam pada badan. Sekali gus memberikan imej yang penuh kuasa.

Konsep rekaan oktagon bersilang pada RAV4 serba baru ini memberikan tanggapan yang kuat terhadapnya, sementara rekaan gril trapezoid berlapis membawa imej lebih lebar dan stabil. Ia nyata menyerlahkan sifatnya yang lasak.

Enjin Dynamic Force

Sama seperti model-model terkini Toyota, RAV4 menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Platform berkenaan menjanjikan prestasi pengendalian dan keselesaan apabila tiga aspek iaitu ketahanan, kestabilan dan penglihatan dipertingkatkan.

Sebagai contoh, cermin sisi kini diposisikan pada pintu dengan tiang-A yang lebih nipis untuk memudahkan penglihatan. Struktur binaan terbaru itu juga memberikan lebih kestabilan dan kurang olengan badan.

RAV4 juga menerima sistem janaan kuasa serba baru dengan enjin Dynamic Force. Lebih ringan dan berkuasa, enjin empat-silinder petrol itu datang dengan teknologi-teknologi pembakaran berkelajuan tinggi dan ciri pemasa injap boleh ubah pintar VVT-iE.

Enjin ini mempunyai kecekapan suhu yang terbaik di dunia pada tahap 40%, dua kali ganda berbanding kebanyakan enjin pembakaran dalaman yang lain.

Dua kapasiti enjin ditawarkan: 2.5 liter (A25A-FKS) dan 2.0 liter (M20A-FKS). Unit 2.5 liter menghasilkan sehingga 207 PS dan tork 243Nm. Sementara unit 2.0 liter menjana 123 PS dan tork 207Nm.

Enjin 2.5 liter digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan (Direct Shift 8-AT). Manakala enjin 2.0 liter menggunakan transmisi jenis CVT dengan ciri Sequential Shiftmatic.

Bagi kedua-dua transmisi, pemandu boleh memilih mod Eco, Normal dan Sport untuk disesuaikan dengan gaya pemanduan atau persekitaran. Paddle shifter juga disediakan, membolehkan pemandu menukar gear secara manual tanpa mengalihkan tangan dari stereng.

Sistem infotainmen

Dari sudut ukuran dimensi, ruang kabin RAV4 mempunyai lebar 1,855 mm dengan jarak antara roda 30 mm lebih panjang yang memberikan lebih ruang. Dengan badan yang lebih besar, ruang kabin diberi rekaan baru sepenuhnya agar lebih mewah, berkualiti dan selesa.

Papan pemuka memuatkan meter Optitron premium yang jelas dan terang. Skrin Multi Information Display (MID) berwarna bersaiz tujuh-inci melengkapkan lagi meter gabungan TFT yang boleh ditukar sama ada paparan analog atau digital.

Sistem infotainmen DVD-AVX tujuh-inci dengan enam pembesar suara padanya mempunyai pelbagai sambungan capaian seperti Mirrorlink, Miracast, AUX, Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri arahan suara juga tersedia bagi kedua-dua varian RAV4 untuk membolehkan kawalan beberapa ciri secara tanpa sentuhan dibuat.

Ruang kabin yang selesa

Kusyen tempat duduk depan kini lebih tebal dengan sokongan lumbar belakang badan yang diperbesarkan untuk menampung postur duduk yang lebih selesa.

Bagi pemandu, larasan lapan-arah dan ciri memori memudahkan lagi mereka untuk mendapatkan posisi duduk yang betul. Kedua-dua kerusi depan mempunyai sistem pengudaraan untuk lebih selesa.

Penumpang belakang juga menikmati kemaskini yang sama pada tempat duduk, menjadikannya lebih selesa ketika sepanjang perjalanan.

Penyandar tempat duduk belakang boleh direbahkan mengikut keselesaan, bersama nisbah lipat 60:40. Pelbagai konfigurasi jelas memudahkan lagi pengguna untuk membawa barangan yang berbeza saiz.

Ciri pintu belakang dengan sensor gerak kaki memudahkan pengguna untuk memasukkan barang ke ruang kargo. Hanya perlu gerakkan kaki di bahagian tengah bampar belakang (kunci perlu berada dekat dengan pengguna) dan pintunya akan terbuka secara automatik.

Ruang kargonyaadalah yang terbaik dalam kelas dengan bahagian pelapik lantainya boleh diterbalikkan untuk pelbagai kegunaan. Selaian boleh dilaras ketinggiannya bagi mendapatkan lebih ruang.

Keselesaan dipertingkatkan dengan pemasangan bahan penebat bunyi pada lantai dan permukaan yang lebih luas. Ini membantu mengurangkan bunyi bising, kekasaran dan gegaran di dalam kabin.

Sistem keselamatan

Ciri-ciri lain yang ada termasuk sistem pintar tanpa kunci serta lebih banyak slot USB untuk mengecas peranti elektronik, termasuk pad pengecas Qi tanpa wayar. Ruang simpanan tambahan dan ruang meletak cawan juga tersedia. Waktu malam, beberapa ruang ada pencahayaan yang lembut, memberikan kelainan suasana dalam kabin.

Selain dilengkapi sehingga tujuh beg udara SRS, RAV4 turut menerima sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense (TSS).

Ini termasuklah Sistem Pra-Perlanggaran, Amaran Penukaran Lorong dengan Bantuan Stereng, Bantuan Pengesanan Lorong dan Kawalan Melayar Radar Dinamik untuk semua kelajuan serta Lampu Tinggi Automatik.

Tidak ketinggalan, cermin pandang belakang Electro-Chromic yang menghindarkan silau dari kenderaan belakang. Selain ciri amaran lintasan trafik di belakang dan peninjau titik buta.

Kedua-dua ciri itu bertujuan memaklumkan pemandu sekiranya ada kenderaan lain berada di titik buta. Brek parkir elektronik memudahkan lagi pemandu yang turut hadir dengan ciri HOLD untuk digunakan di permukaan curam.

Dua perakam video digital yang ada pula sangat berguna untuk merakam situasi dan dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku kemalangan. Sistem amaran tekanan tayar akan memberi peringatan kepada pemandu sekiranya tekanan angin tayar berkurangan.

CagakISOFIX disediakan di bahagian belakang untuk memasang kerusi keselamatan kanak-kanak.

Selain alat imobilisasi enjin dan sistem penggera, RAV4 dilengkapi sistem telematik kenderaan. Sistem ini menggunakan GPS/GSM untuk mengesan dan memudahkan pencarian kereta sekiranya dicuri.

Pelancaran hari ini disudahi dengan pengedaran risalah jualan yang boleh dimuat turun serta pengenalan bilik pameran maya untuk pandu uji, tempahan dan temu janji dari rumah.

Bilik pameran berkenaan menampilkan tinjauan 360-darjah terhadap barisan produk yang ada.

Pelancaran secara maya yang pertama kali diadakan awal hari ini masih boleh ditonton di www.rav4my.com.

RAV4 akan berada di semua bilik pameran sah Toyota bermula 18 Jun 2020. Maklumat lanjut, sila layari laman web toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-3333.

Tags
Google ads
Back to top button