Buletin

TOYOTA RAV4 TRD ATAU MODELLISTA – MANA SATU PILIHAN HATI

Baru-baru ini, Toyota melancarkan model SUV terbaharunya, RAV4 ke pasaran Jepun. Jentera baharu itu didatangkan dalam enam varian, dua pilihan enjin dan dua konfigurasi pacuan roda. 

Pelanggan boleh memilih RAV4 yang dikuasakan oleh enjin Dynamic Force bersesaran 2.0 liter.

Dipadankan dengan kotak gear CVT, enjin yang mampu menjana kuasa 169hp dan tork 207Nm itu menggunakan pacuan roda belakang atau semua roda (AWD). 

Toyota juga ada menawarkan rangkaian kuasa hibrid untuk RAV4. Varian itu menggunakan khidmat enjin Dynamic Force 2.5 liter yang digabungkan bersama motor elektrik. Padanan itu boleh menghasilkan kuasa sehingga 215hp untuk varian 2WD dan 219hp (e-AWD). 

SUV itu bertambah menarik apabila dua firma talaan terkenal, TRD dan Medellista memperkenalkan pelbagai aksesori khas untuk RAV4. Sekali gus membuatkan ramai yang tidak percaya bahawa semua aksesori itu diberi kelulusan oleh kilang Toyota sendiri. 

TRD membayangkan dua personaliti berbeza buat RAV4 iaitu Field Monster dan Street Monster. Model Field Monster dibina di atas varian Adventure dan membuatkan SUV tersebut seperti sebuah jentera off-road sebenar. 

Penampilannya diserlahkan menerusi arca roda plastik, pelekat TRD pada bahagian sisi, lencana TRD di hadapan dan belakang, rim aloi 17 inci, pelindung lumpur dan tayar berbunga tebal. 

Street Monster pula tampil dengan gaya urban melalui bodykit yang agresif. Antaranya termasuklah bampar, skirting sisi dan titik graviti yang lebih rendah dengan jarak kelegaan tanah hanya 121mm, memang tidak boleh dibawa ke laluan off-road. 

Selain dua pek aksesori itu, TRD ada menawarkan alat-alat ganti secara berasingan sepertu rim aloi TRD TF X-Limited bersaiz 20 inci, suspensi berprestasi tinggi, peredam custom dan roof rack. 

Sama seperti TRD, Modellista juga menawarkan dua karekter untuk RAV4. Urban Solid Strider fokus kepada pemanduan di bandar. Manakala varian Jaos pula lebih berorientasikan kepada off-road. 

Versi Urban Solid Strider dipasang dengan aerokit yang lengkap bersama lampu LED tambahan pada spoiler hadapan, kemas gril, skirting sisi yang tajam dan rim aloi bersaiz 19 inci. 

Model Jaos pula dilengkapi bampar, plat pemijak kaki, perlindungan tambahan pada bahagian sisi, panel pada tiang C dan rim aloi 20 inci yang dipadang dengan tayar Toyo.      

Di Jepun, RAV4 ditawarkan pada harga bermula ¥2,608,200 (RM96,000) sehingga ¥3,817,800 (RM141,000) seunit. 

Google ads
Back to top button