Artikel Pilihan

TOYOTA SUPRA 2019 DAN SEGALA RAHSIA YANG KAMI TAHU TENTANG KERETA INI

Bagi yang baru akil baligh ataupun sibuk cari awek wicet mungkin tidak sedar tentang perkara besar yang sedang berlaku dalam dunia automotif. Bukan itu sahaja, ramai kagi rasanya yang belum sedar yang model lejen bakal kembali ke pasaran. Semua kaki kereta sejati rasanya memang sudah tahu yang Toyota akan menghidupkan kembali Supra selepas 16 tahun menghilang (yang lama pun Pak Amid tak terbeli lagi…adoi la).

Walaupun kita sebelum ini telah didedahkan dengan kereta sports ini sedang diuji dalam pelbagai persekitaran dengan samaran penuh. Pengesahan rasmi yang Supra baru akan diperkenalkan menjadi kenyataan pada Geneva Motor Show tahun ini bila model konsep Gazoo Racing Supra didedahkan kepada umum.

Okey kita lihat beberapa fakta yang berjaya dikumpul hasil penyiasatan ejen Amid dan Japar PI.

Supra baru adalah kolaborasi Toyota dan BMW?

BMW dan Toyota mengumumkan kerjasama antara mereka pada tahun 2012. Pada masa itu kedua-duanya dilaporkan menyatakan akan bekerjasama dalam pembangunan komponen disel dan hibrid. Tapi kini sepertimana diyakini ramai pemerhati, mereka juga bekerjasama dalam projek yang lebih besar.

Khabar  angin sudah lama tersebar mengatakan kedua syarikat bekerjasama untuk menghidupkan model Supra kerana para eksekutif Toyota mahukan model sports yang lebih besar dan berkuasa dari GT86. Ia diperkuatkan lagi dengan pengenalan model konsep FT-1 pada tahun 2014.

Kini sudah nyata syarikat Magna Steyr akan menghasilkan kedua-dua Toyota Supra dan BMW Z4 baru di Austria. Tapi walaupun kedua model ini akan berkongsi platfom dan komponen yang sama, keduanya akan menjadi dua jentera yang berbeza sama sekali.

Berbeza dengan kerjasama Toyota dan Subaru dalam penghasilan 86 dan BRZ, BMW dan Toyota akan mengurangkan perkongsian ke tahap yang paling minima antara satu sama lain. Dengan kata lain keduanya memang berbeza baik dari segi rekaan mahupun enjin yang digunakan.

Enjin sebaris enam kekal tapi gear manual tidak

Supra terakhir muncul dengan enjin sebaris-enam berkuasa turbo dan itulah juga format enjin yang akan dikekalkan pada Supra baru. Demikian menurut kata ketua jurutera Toyota, Tetsuya Tada di Geneva Motor Show.

Menurut satu kenyataan yang didedahkan oleh majalah Best Car Jepun dan tidak dinafikan langsung oleh Toyota. Supra baru ini akan dibekalkan dengan enjin enam selinder sebaris 3.0-liter berkuasa turbo yang bakal menghasilkan 335 bhp pada 5,500 rpm. Ia juga mampu mencatatkan kelajuan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.8 saat.

BACA: TOYOTA SUPRA GR RACING CONCEPT – LAGENDA KINI KEMBALI

Malangnya bagi penggemar sejati Supra, ia tidak akan ditawarkan dengan kotak gear manual. Malah Toyota yakin ia bukannya satu isu besar. Z4 baru dikatakan akan dilengkapi dengan kotak gear dari ZF dan Supra mungkin membuat pilihan yang sama kecuali jika mereka memilih kotak gear klac berganda agar lebih bersesuaian dengan sifat kereta itu. Ingat, Lexus LFA turut ditawarkan tanpa kotak gear manual tapi tiada seorang pun mengatakan yang ia bukan supercar sebenar.

Bukan itu sahaja, Supra baru ini juga akan mempunyai agihan berat 50:50 dengan titik graviti yang lebih rendah dari 86. Enjinnya juga mudah dilaras dan akan membuatkan ramai tuner tersengih kegembiraan. Data terbaru juga menunjukkan yang Supra baru ini lebih pendek dan lebar berbanding model terdahulu. Ia juga adalah 13 kilogram lebih ringan berbanding Supra keluaran tahun 90-an.

Sebagai kereta sports sejati, Supra baru ini telah diuji dalam pelbagai keadaan muka bumi dan bukan hanya di litar Nurburgring. Toyota juga telah menguji prototaip Supra dengan pelbagai model lain antaranya ialah Porsche 718 Cayman dan BMW 3-Series. Bukan itu sahaja, spy permotoran juga berjaya mengesan Supra baru ini diuji dalam keadaan bersalji.

Belum keluar tapi dah bersedia untuk berlumba

Sebelum Supra baru ini diperkenalkan kepada dunia, GR Supra Racing Concept telah diperkenalkan dan dihasilkan mengikut spesifikasi LM GTE. Perlu diingat pengeluar biasanya tidak akan menghasilkan model konsep kereta lumba apatah lagi yang serba sempurna seperti yang dilakukan oleh Gazoo Racing.

Sumber juga menyebut yang model jalanan akan dibina bersama dengan versi perlumbaan. Medan ujian paling hampir dengan Supra baru ini tentulah WEC dan Japan Super GT sendiri.

Ia dikatakan akan mula dipasarkan awal tahun hadapan. Sabar dulu sambil-sambil kumpul duit. Harganya? Sebagai abang kepada GT86 semestinya in akan menjadi lebih mahal berbanding 86, kan?

GALERI:

Kredit Carscoops

Google ads
Back to top button