
TOYOTA TAMBAH RM2.1B DALAM JOBY, BANTU PENGELUARAN TEKSI UDARA
Lama tidak mendengar perkembangan tentang kereta terbang atau istilah yang betul, electric Vertical Take-Off and Landing (eVTOL).
Ini pula berita terbaru di mana Toyota Motor Corporation telah menambah pelaburan sebanyak AS$500 juta (RM2.1 bilion) di dalam Joby Aviation, Inc.
Toyota melabur di dalam Joby sejak 2020 lagi dan pernah kami laporkan sebelum ini dan secara keseluruhannya kini berjumlah AS$894 juta (RM2.77 bilion).

Pada 2023 kami melaporkan tentang kejayaan Joby mendapatkan sijil layak terbang istimewa untuk ujian penerbangan prototaip produksi pertama.
Pelaburan terbaru akan digunakan untuk pensijilan dan pengeluaran komersial teksi udara elektrik Joby.
Pelaburan ini akan dibuat dalam dua bahagian yang sama dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa serta beberapa syarat lain termasuk penyelesaian perjanjian kerjasama dan komersial.

Bahagian kedua pula melibatkan pemuktamadan syarat berkaitan pakatan strategik yang menumpukan kepada pengeluaran komersial dan beberapa syarat lain.
Pelaburan ini dibuat dalam bentuk tunai bagi saham biasa dengan bahagian pertama dijadualkan untuk diselesaikan pada tahun ini dan bahagian kedua pada 2025.
Joby baru-baru ini telah mengeluarkan pesawat ketiga dari barisan pengeluaran rintis di Marina, California serta memulakan pembinaan kemudahan baharu yang akan meningkatkan lagi kapasiti syarikat.

Sejak 2019 dan selain pelaburan kewangan, Toyota juga telah melaburkan masa dan sumber manusia untuk berkongsi pengetahuan mengenai Sistem Pengeluaran Toyota.
Di antaranya adalah perancangan proses, pembangunan kaedah pengeluaran, dan reka bentuk alat pengeluaran.

Para jurutera Toyota kini bekerja bersama kakitangan Joby di California dan pada tahun lalu kedua-dua syarikat telah menandantangani perjanjian jangka masa panjang.
Toyota akan membekalkan perkakasan penting rangkaian kuasa dan penggerak untuk pengeluaran pesawat Joby.














