Buletin

TOYOTA LABUR RM1.6B DALAM SYKT. eVTOL JOBY (TERBANG MENEGAK)

Apa yang diperkatakan mengenai kereta terbang perlu dijelaskan semula. Tidak semua boleh dipanggil kereta terbang secara umum kerana setiap satu pengangkutan udara mempunyai terma sendiri.

Sebagai contoh, Toyota melabur di dalam syarikat aeroangkasa Joby Aviation (Joby) yang sedang membangunkan dan mengkomersialkan kapal terbang all-electric vertical take-off and landing atau ringkasnya dipanggil eVTOL.

Secara ringkasnya, eVTOL adalah kapal terbang yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak dan dikuasakan oleh tenaga elektrik sepenuhnya.

Ia tidak semestinya kapal terbang atau helikopter, tetapi kenderaan yang berlepas dan mendarat secara menegak yang sebelum ini sudah dikenali dengan terma vertical take-off and landing atau VTOL.

Sebagai sebuah pengeluar automobil, kerjasama dengan Joby adalah pengiktirafan Toyota terhadap potensi jangka masa panjang di dalam industri pengangkutan udara.

Pelaburan yang dibuat Toyota di dalam Joby melibatkan amaun yang besar sehingga menjadi pelabur utama dengan nilai USD$394 juta (RM1.601 bilion) di dalam pembiayaan Siri C berjumlah USD$590 juta (RM2.398 bilion).

Sebagai tambahan kepada pelaburan, Toyota akan berkongsi kepakaran dalam bidang pengilangan, kualiti dan kawalan kos untuk pembangunan dan pengeluaran eVTOL Joby.

eVTOL yang direka Joby dilihat sangat sesuai dalam memenuhi keperluan pasaran pengangkutan udara sama ada untuk kegunaan harian atau pengangkutan di antara pusat bandar.

Kerjasama ini juga dapat membantu dalam membawa pengangkutan udara ke arus perdana dan memulakan kategori baharu dalam pengangkutan manusia dan barangan.

Mazda CX30

Selain itu eVTOL turut mempunyai potensi dalam menyelesaikan masalah pengangkutan seperti kesesakan di bandar dan juga kawasan yang mempunyai kurang populasi.

Joby adalah penerajui dalam pembangunan eVTOL yang menggabungkan elemen helikopter dan kapal terbang kecil.

Ia menawarkan beberapa kebaikan seperti sifar emisi, realibiti yang tinggi, kelajuan penerbangan, pengoperasian senyap serta kos operasi dan penyelenggaraan rendah.

Tags
Google ads
Back to top button