Motosikal

HUSQVARNA VITPILEN 801 DIRASMIKAN – ENJIN KTM LC8C 799CC, 105HP 

Awal tahun ini kami telah pun ke Perancis bagi menguji Husqvarna Svartpilen 801 serba baharu. Motosikal gaya ‘scrambler’ dengan jolokan ‘Black Arrow’ itu buat julung kalinya dipacu enjin dua silinder menggantikan Svartpilen 701 sebelum ini. 

Bagaimanapun, sejurus selepas itu kami yakin bahawa Husqvarna akan turut memperkenalkan Vitpilen 801 (White Arrow) dan perkara itu direalisasikan minggu ini. 

Reka bentuk dan lampu baharu

Seperti Svartpilen 801, Vitpilen 801 juga mengguna pakai enjin dan casis yang sama diambil dari KTM 790 Duke namun dengan DNA Husqvarna.

Namun, ketika Svartpilen 801 dilengkapi dengan lampu depan berbentuk bulat yang sama terdapat pada versi 250 dan 401, Vitpilen 801 pula menawarkan reka bentuk lampu depan serba baharu. Lampu berbentuk bulat itu kini merangkumi projektor bi-LED yang dikelilingi DRL (daytime running light). 

Reka bentuk lampu serba baharu itu secara tak langsung menjadikan barisan model Svartpilen dan Vitpilen lain kelihatan seperti model lama. Untuk itu kami jangka penggunaan lampu baharu ini juga akan turut diterapkan pada model lain tidak lama lagi. 

Enjin KTM LC8c 

Husqvarna Vitpilen 801 ini juga dipacu platform 799cc LC8c yang sama terdapat pada KTM 790 Duke, 790 Adventure, CFMoto 800NK serta 800MT. Enjin ini berupaya menghasilkan 105hp pada 9,250rpm dan 87Nm pada 8,000rpm. Kuasa enjin disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan yang boleh ditetapkan menerusi 3-mod menunggang. 

Vitpilen 801 ini juga dilengkapi dengan IMU sekaligus menawarkan ‘cornering traction control’ secara standard. Sayangnya, Vitpilen 801 ini tidak didatangkan dengan quickshifter secara standard seperti Svartpilen 801. 

Casis dan suspensi

Vitpilen 801 menggunakan casis ‘chrome-molybdenum’ dan suspensi WP Apex sama seperti Svartpilen 801. Menariknya, walaupun Vitpilen 801 bergaya naked dan Svartpilen bergaya ‘scrambler’ namun kedua-dua model ini menawarkan jarak pergerakan tayar dan kelegaan tanah yang sama. 

Kedua-duanya juga dilengkapi dengan brek 4-piston J.Juan, cornering ABS serta skrin TFT 5-inci yang boleh dihubungkan ke telefon pintar bagi mengakses navigasi, panggilan dan muzik. 

GALERI: HUSQVARNA VITPILEN 801 2025

Google ads
Back to top button