Buletin

TOYOTA TAWAR SATU LAGI VARIAN 86, TRD HANDLING PACKAGE

Awal tahun ini, Toyota ada memperkenalkan Toyota 86 Hakone Edition. Masih belum ada berita mengenai pengganti 86, Toyota nampaknya terpaksa mengekalkan minat orang ramai terhadap kereta sports itu dengan memperkenalkan model-model sebegini. 

Terbaharu, Toyota bakal memperkenalkan TRD Handling Package untuk 86.

Hadir secara eksklusif untuk varian entry level bertransmisi manual enam kelajuan, pakej itu didatangkan dengan beberapa komponen yang pernah dipasang pada model 86 TRD Special Edition yang dilancarkan tahun lepas. 

Antara komponen yang dimaksudkan itu ialah sistem brek Brembo dengan cakera bersaiz 326mm di depan dan 316mm di belakang. Selain peredam Sachs dan rim aloi bersaiz 18 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport 4. 

Untuk ruang kabin, 86 TRD Handling Package dipasang dengan sistem audio multimedia skrin sentuh 7-inci bersama ciri Android Auto dan Apple CarPlay.

Selain Bluetooth, USB dan port pengecas, jentera itu menerima teknologi Clari-Fi yang berfungsi membuatkan muzik digital kedengaran lebih natural. 

Tiada sebarang perubahan pada rangkaian kuasa. Ia akan terus menggunakan khidmat enjin Boxer bersesaran 2.0 liter yang mampu menjana kuasa 205hp dan tork maksimum 211Nm. 

Model itu bakal menemui pengguna di Amerika Syarikat pada musim luruh tidak lama lagi dan ditawarkan pada harga bermula AS$27,000 (RM113,000) seunit. 

Google ads
"
"
Back to top button