INILAH CASH COW TERKINI PORSCHE – TERIMA 30K TEMPAHAN, PRODUKSI TAYCAN MULA MINGGU DEPAN
Rabu lalu, Porsche memperkenalkan jentera elektrik pertamanya, Taycan. Dengan tempahan kini sudah mencecah 30,000 unit, Porsche tidak menunggu lama untuk memulakan produksi.
Taycan akan dihasilkan di kilang Porsche di Zuffenhausen yang telah dinaik taraf sepenuhnya baru-baru ini. Menurut Porsche, produksi Taycan merupakan projek penghasilan kereta paling besar sejak kilang itu dibina.
Pembinaan kilang tersebut bermula pada akhir tahun 2015 dan melibatkan beberapa sub-projek dengan skop kerja berbeza. Projek Taycan merangkumi pembinaan bahagian cat dan badan yang baru, kilang menghasilkan motor elektrik, komponen serta saluran pemasangan.
Bangunan itu memiliki keluasan 1.8 juta kaki persegi dan dibina menggunakan 35 tan besi. Walaupun besar, kilang itu bersifat mesra alam dan neutral CO2. Aspek itu dicapai menerusi penggunakan tenaga boleh diperbaharui, kenderaan logistik elektrik dan haba buangan di dalam bilik mengecat.
Seperti yang dilaporkam sebelum ini, Taycan ditawarkan dalam dua varian iaitu Turbo dan Turbo S yang dilengkapi pek bateri berkapasiti 93.4kWh yang menjana dua unit motor. Untuk varian turbo, rangkaian kuasa itu berupaya menghasilkan kuasa sehingga 680PS.
Ia mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 3.2 saat dengan kelajuan dihadkan kepada 260km/j. Taycan Turbo boleh mencatat perjalanan sejauh 450km dengan sekali caj.
Taycan Turbo S pula menerima motor lebih berkuasa iaitu 761PS dan boleh mencapai kelajuan 0-100km/j dalam masa 2.8 saat sahaja.
Taycan ditawarkan pada harga bermula RM643,000 seunit.