Buletin

UZAIR JUARA KEJOHANAN TOYOTA VELOCITY ESPORTS YANG PERTAMA – BAWA PULANG HADIAH WANG TUNAI RM20K!

Semalam merupakan hari bertuah buat Muhammad Uzair S Abdul Nasir Khan kerana beliau dinobat sebagai juara Kejohanan Toyota Velocity Esports yang julung-julung kali diadakan.

Kejuaraan Toyota Velocity Esports menyaksikan para peserta menggunakan jentera lumba ikonik Toyota iaitu Toyota GR Supra Racing Concept.

Dilengkapi mesin simulator Playstation Gran Turismo Sports, semua peserta berlumba di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun, dengan suasana perlumbaan 3D dan persekitaran yang realistik.

Selepas berlumba selama dua hari, sepuluh orang peserta terbaik perlu bersaing di pusingan akhir yang berlangsung pada hari Ahad, untuk merebut trofi kejuaraan dan hadiah wang tunai.

Selaku juara, Uzair membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000. Tempat kedua dan ketiga pula diisi oleh Mior Muhammad Hafiz Mior Lahmudin dan Aiman Haziq Aidi yang masing-masing terpaksa berpuas hati menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan RM5,000.

Sementara hadiah saguhati berjumlah RM2,000 pula diberikan kepada tujuh peserta akhir. Secara keseluruhannya, sebanyak RM60,000 hadiah wang tunai ditawarkan untuk kejuaraan kali ini.

Senarai pemenang adalah seperti berikut:

Toyota merupakan pengeluar kenderaan pertama di Malaysia yang menganjurkan acara sebegini di Malaysia. Ini adalah sebahagian daripada usaha UMW Toyota Motor untuk mendekati golongan muda. Selain merancakkan perkembangan esports di negara ini.

Pertandingan yang berjaya menarik minat 400 orang peserta itu juga menjadi cerminan kepada aktiviti-aktiviti sukan pemotoran di bawah Toyota Gazoo Racing kepada khalayak umum.

Selain pertandingan yang terbuka kepada sesiapa sahaja, perlumbaan pertunjukan oleh selebriti perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) Racing Festival seperti Diana Danielle, Janna Nick, Shawn Lee dan Syukri Yahaya Aiman Tino, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Akim Ahmad serta Nabil Ahmad turut diadakan.

“Kami sangat teruja dengan sambutan hangat yang diterima daripada orang ramai.  Esports sememangnya sebuah industri yang kian pesat berkembang di seluruh dunia.

“Penglibatan Toyota dalam acara seumpama ini melengkapkan lagi sisi dinamik dan sporty yang ingin dibawa oleh jenama ini,” jelas Presiden UMWT, Ravindran K.

Para peminat boleh melihat sendiri aksi sebenar perlumbaan selebriti ini di karnival TGR Racing Festival pusingan ke 2 yang akan berlangsung di MAEPS Serdang, dari 19 hingga 21 Oktober 2018.

Maklumat lanjut mengenai Kejuaraan Esport Toyota Velocity dan TGR Racing Festival, sila layari laman web:  www.toyota.com.my.

Google ads
Back to top button